Penduduk bantah pembangunan projek pangsapuri 61 tingkat - Utusan Malaysia

Penduduk bantah pembangunan projek pangsapuri 61 tingkat

AHMAD Ibni Hajar (tengah) menunjukkan pelan cadangan pembangunan projek mega berintensif tinggi di Lot 642, Bandar Gelugor ketika menghadiri sesi pendengaran bantahan di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cadangan pembangunan projek mega berintensif tinggi di Lot 642, Bandar Gelugor di sini akan memberi impak besar terhadap ribuan penduduk yang tinggal di sekitar Taman Tun Sardon, Pemancar, Taman Brown, Minden Heights dan Bukit Gelugor.

Pengerusi Persatuan Kejiranan Gelugor, Datuk Ahmad Ibni Hajar berkata, majoriti penduduk membantah pelaksanaan projek yang disifatkan sebagai tidak selari dengan pembangunan sedia ada serta mengubah secara drastik suasana kejiranan.

Beliau berkata, projek yang sama juga dikhuatiri menyebabkan kepadatan penduduk yang tinggi serta peningkatan risiko kesesakan trafik berdasarkan anggaran pertambahan penduduk sehingga 14,000 orang serta 7,000 kenderaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berpandangan, cadangan pembangunan projek ini dijangka membebankan infrastruktur sedia ada, mengurangkan daya tahan komuniti serta mengancam keseimba­ngan alam sekitar secara tidak langsung.

“Jika projek ini diteruskan maka kawasan seperti Taman Tun Sardon, Pemancar, Kampung Kastam dan Bukit Gelugor akan kehilangan sepenuhnya ruang hijau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad bersama sebahagian penduduk ditemui ketika menghadiri sesi pendengaran bantahan di hadapan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran semalam.

Difahamkan, projek yang akan dibangunkan dalam masa terdekat itu melibatkan pembinaan empat menara pangsapuri kediaman setinggi 45 dan 61 tingkat termasuk ruang pejabat dan perniagaan di atas tanah kerajaan seluas 5.87 hektar.

Ia terbahagi kepada tiga fasa dengan keseluruhan 3,513 unit pangsapuri baharu bakal dibina.

Dalam pada itu, Rajendran berkata, pemaju hanya mengikut garis panduan yang ditetapkan untuk melaksanakan projek terbabit.

Katanya, selagi ia tidak me­langgar syarat ditetapkan, MBPP tidak mempunyai kuasa untuk menolak cadangan pembangunan projek terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini