KUALA LUMPUR: Pembangkang mengesahkan bahawa mereka akan menyertai jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan kerajaan bagi meneliti dan memperhalusi Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, nama ahli Parlimen pembangkang yang akan menyertai jawatankuasa itu sudah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Kerajaan ingin menubuhkan jawatankuasa khas untuk membincangkan RUU ini, yang merangkumi wakil daripada kerajaan, boleh jadi menteri sendiri akan mempengerusikannya dan wakil daripada pembangkang.
“Kami sudah diminta mengemukakan nama-nama dan kami sudah mengemukakannya. Namun demikian, kami tidak pasti sama ada RUU ini akan terus dibaca untuk bacaan kali kedua ini (dijadual hari ini),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Pada 23 Februari lalu, kerajaan membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Azalina juga menjelaskan bahawa cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertujuan memperkukuh kebebasan institusi, ketelusan dan keadilan sistem perundangan.
Antara cadangan utama termasuk pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, serta pemberian kuasa pendakwaan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan mempunyai pilihan untuk menangguhkan seketika RUU itu bagi membolehkan jawatankuasa khas membincangkan secara terperinci RUU itu termasuk mengemuka beberapa syor penambahbaikan.
“Dia (menteri) boleh saja teruskan (RUU ini dibentang bagi bacaan kali kedua) dengan dia mengemukakan RUU, memberikan ucapan, kemudian membuka untuk perbahasan, kemudian barulah ditangguh, boleh juga.
“Ataupun kerajaan mempunyai bidang kuasa atau budi bicara untuk terus menangguhkan tanpa dibentangkan untuk bacaan kali kedua,” katanya.-UTUSAN











