Pembangkang mahu hukuman berat pemandu mabuk - Utusan Malaysia

Pembangkang mahu hukuman berat pemandu mabuk

HAMZAH Zainudin (tengah) meninjau keadaan padi yang rosak dan tidak dapat dituai di Parit Haji Taib 3 di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Isu pemandu mabuk merupakan masalah serius yang memerlukan tindakan tegas termasuk menggubal semula undang-undang untuk hukuman lebih berat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, insiden yang mengorbankan seorang penunggang motosikal dilanggar pemandu mabuk di Klang kelmarin menunjukkan isu itu tidak boleh dipandang ringan, walaupun terdapat pandangan jumlah kes sedemikan adalah kecil.

“Bagi kami walaupun hanya satu nyawa terkorban, ia tetap satu kehilangan besar. Jangan sesekali menganggap perkara ini kecil.

“Punca utama masalah ini adalah sikap dan mentaliti segelintir individu yang memandu tanpa mematuhi undang-undang serta di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Aspek disiplin dan adab dalam kalangan pengguna jalan raya perlu diberi penekanan serius, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kepada seluruh rakyat sebagai satu cara hidup yang berteraskan tanggungjawab dan keselamatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada dialog dengan para pesawah di Parit Haji Taib 3 di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau mengkritik sikap pihak tertentu yang memandang ringan isu berkenaan dengan alasan jumlah kes yang rendah, sambil menegaskan kerajaan perlu menunjukkan komitmen lebih tegas dalam menangani perkara itu.

“Masalah ini berlaku kerana kurang penekanan. Tidak wajar untuk mengatakan kes sedikit kerana satu nyawa pun amat berharga kepada negara dan keluarga mangsa,” katanya.

Tegasnya, sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang, termasuk dalam kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, perlu dikenakan hukuman sewajarnya tanpa kompromi.

“Pembangkang akan meneliti dan mencadangkan penambahbaikan perlu dilakukan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada agar langkah pencegahan dapat diperkukuh demi menjamin keselamatan rakyat,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, maut selepas dilanggar oleh seorang pemandu kereta di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN