KUALA LUMPUR: Pembangkang menyatakan sokongan terhadap kenyataan keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan terutama Perdana Menteri kerana mengeluarkan kenyataan yang tegas bagi menentang kezaliman terhadap Iran.
Beliau berkata, sekiranya negara seperti AS yang hanya melihat tentang kepentingan Israel sahaja maka ia merupakan satu kesalahan besar.
“Kerana di kawasan itu bukan sahaja hanya boleh membantu dunia dalam kedudukan ekonomi terutama pengeluaran minyak begitu besar tetapi membantu AS. Mengapa mereka tidak melihat kepentingan negara-negara Teluk harus diambil kira?
“Maka sebab itu apabila Yang Amat Berhormat (YAB) bangkitkan satu kenyataan yang keras dan mengutuk Israel serta AS sekeras-keranya, kami pembangkang menyokong kenyataan YAB,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar sebelum itu mengecam serangan tindakan terhadap Iran dan berpandangan tindakan ketenteraan berterusan itu akan menyebabkan ketegangan lebih besar sehingga menggugat kestabilan serantau terutama di negara Teluk.
Dalam pada itu, Hamzah mempersoal tindakan Presiden AS, Donald Trump yang hanya mementingkan diri dan tidak melihat kedudukan dunia.
“Banyak kenyataan-kenyataan yang kita dengar, bahawa Trump hari ini sudah menjadi seorang yang begitu angkuh, sombong seolah-olah hanya dia boleh menentukan masa depan dunia,” katanya.
Sementara itu, Hamzah turut meminta kerajaan meningkatkan lagi bantuan kepada rakyat Palestin terutama di Gaza.
“Bantuan itu bukan sahaja nanti akan membantu mereka tetapi turut membantu YAB di masa akan datang, insya-Allah dunia dan akhirat,” ujarnya.-UTUSAN










