Pemandu mabuk sebabkan kematian penghantar sambilan direman

Pemandu mabuk sebabkan kematian penghantar sambilan direman empat hari

POLIS membawa lelaki yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, Selangor, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pemandu mabuk yang dipercayai merempuh seorang penunggang motosikal sehingga meninggal dunia direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat yang menetapkan tempoh reman berkuatkuasa sehingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki terbabit sedang dijalankan.

Kelmarin, pemandu kereta itu didakwa merempuh sebuah motosikal dekat Jalan Raya Barat dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 20-an itu memandu ke arah Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

“Di lokasi kejadian, pemandu berkenaan memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal yang berada di laluan tersebut.

“Akibat insiden itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30-an tercampak ke atas sebuah lagi kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jelasnya, ujian saringan terhadap pemandu terbabit juga didapati positif alkohol dan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kelmarin, seorang penghantar sambilan maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta pada pukul 10.40 pagi.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa, manakala ujian saringan  air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain memandu di bawah pengaruh alkohol.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN