GUA MUSANG: Keletihan melampau selepas memandu lebih 10 jam dikenal pasti menjadi punca utama peningkatan kes kemalangan kecil membabitkan perantau yang terperangkap dalam kesesakan trafik di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, sepanjang tempoh dua hari kepulangan perantau, sebanyak 35 kes kemalangan dilaporkan.
Katanya, daripada jumlah itu, 20 kes direkodkan kelmarin manakala 15 lagi setakat semalam.
“Tiada kemalangan maut dilaporkan, namun majoriti kes melibatkan pelanggaran kecil seperti kenderaan melanggar bahagian belakang kereta lain akibat hilang fokus,” katanya selepas menghadiri Program Op Selamat peringkat daerah di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mentara, di sini semalam.
Choon Foo berkata, insiden terbabit banyak berlaku di laluan utama termasuk kawasan sempadan Pahang-Kelantan, selain jalan Persekutuan dan negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, peningkatan mendadak jumlah kenderaan menyebabkan ramai pemandu mengambil risiko memandu tanpa rehat mencukupi.
“Keadaan ini menyebabkan pemandu mengantuk, hilang tumpuan dan gagal mengawal kenderaan dengan baik terutama ketika trafik bergerak perlahan,” ujarnya.
Dalam usaha mengurangkan kesesakan, Choon Foo berkata, pihak berkuasa melaksanakan penyuraian trafik sepanjang 10 hingga 12 kilometer secara berkala sejak dua hari lalu.
“Sebanyak lima kali penyuraian trafik dilakukan dengan setiap operasi mengambil masa kira-kira satu jam setengah di laluan Gua Musang-Kuala Lipis,” katanya. – UTUSAN










