JOHOR BAHRU: Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Sepakat Baru, Batu 11 susur keluar Plaza Tol Skudai di sini, negatif penyalahgunaan dadah selepas ujian urin dilakukan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha berkata, pemandu lelaki berusia 62 tahun tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut.
Katanya, 10 individu yang tercedera adalah pembantu pemandu berusia 51 tahun dan sembilan penumpang.
Jelasnya, bas berkenaan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dalam perjalanan ke Larkin Sentral, terbabas dan hilang kawalan hingga jatuh ke gaung ketika masuk lorong pusingan U.
*Mangsa cedera di kepala, badan, tangan dan kaki. Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Radin Ramlan, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-35807871,” katanya.
Malam tadi, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Kamarulzaman Salleh dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.20 malam.
“Tiga buah jentera termasuk sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian mendapati dua daripada 10 mangsa tersepit sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Seorang lagi mangsa tersepit telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya. – UTUSAN










