KANGAR: Penghasilan pelita buluh sempena Aidilfitri menjadi sumber rezeki buat seorang anak muda dan abang iparnya yang mampu menjual sehingga 1,500 batang pelita dengan pendapatan sekitar RM22,000.
Di Perlis, tradisi memasang pelita raya di kawasan rumah bagi menyerikan sambutan Aidilfitri khususnya pada malam tujuh likur terus kekal bertahan dan masih meriah.
Zurin Fazril Zulkifli, 27, dan Junaidi Azrin Ahmad, 44, dari Jalan Tasik Melati di sini mula menghasilkan pelita buluh sejak 2019 dan setiap kali menjelangnya Aidilfitri, mereka tidak menang tangan menyiapkan puluhan ribu tempahan.
Zurin Fazril berkata, pada tahun ini, mereka mensasarkan menjual sekitar 1,000 hingga 1,500 pelita buluh dengan harga RM15 sebatang berikutan peningkatan kos barang.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 telah memberi cetusan idea kepada kami berdua untuk memperluaskan lagi pasaran pelita buluh bagi memenuhi tempahan pelanggan.
“Sebelum mula menghasilkan pelita sendiri, kami beli pelita buluh dari peniaga lain namun tidak berpuas hati disebabkan harganya mahal dan pelitanya juga kecil saja. Oleh sebab itu, kami cuba buat sendiri dan tidak sangka pula kenalan terdekat pun minat serta buat tempahan.
“Pada peringkat awal, kami hanya pasarkan pelita buluh ini pada harga RM10 sebatang dan jualan pertama ketika itu mencapai 100 batang. Bertitik tolak daripada situ, kami melakukan beberapa penambahbaikan dan tempahan diterima saban tahun semakin meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Junaidi Azrin berkata, mereka menggunakan buluh minyak bagi menghasilkan pelita itu dan bekalannya diperolehi daripada kebun rakan di Pauh, Arau.
Kebiasaan, mereka mengambil bekalan buluh itu seminggu sebelum Ramadan sebagai persiapan awal bagi menyediakan pelita tradisional itu.
Katanya, mereka turut menjual perhiasan raya berkenaan menerusi laman sosial termasuk di luar Perlis.-UTUSAN










