Pelajar tidak boleh ditegur terjun bangunan

Pelajar tidak boleh ditegur terjun bangunan

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian seorang pelajar lelaki yang terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah, di sini berpunca apabila mangsa dipercayai tidak dapat menerima teguran guru kerana membawa telefon bimbit ke sekolah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati pelajar berusia 17 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan penghidap autisme itu ditegur seorang guru disiplin pada 26 Februari lalu atas kesalahan itu.

Katanya, telefon bimbit itu bagaimanapun tidak dirampas, namun disebabkan mangsa mudah merajuk atau sukar menerima teguran dia dipercayai mengambil tindakan terjun dalam kejadian terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita telah merakam keterangan guru terbabit termasuk telah berjumpa dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan keterangan mereka.

“Siasatan turut dibuat sama ada terdapat sebarang komunikasi di media sosial seperti WhatsApp dan sebagainya atau dorongan yang boleh mendorong mangsa mencederakan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Adzli berkata, setakat ini tiada sebarang laporan atau aduan berkaitan unsur buli diterima daripada mangsa mahupun ibu bapanya.

Katanya, pemeriksaan doktor juga mendapati kecederaan dialami konsisten dengan insiden jatuh dari tempat tinggi dan tiada kesan lain seperti kecederaan akibat perbuatan pihak lain.

“Saya sendiri sudah berjumpa dengan doktor yang merawatnya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) serta bertemu ibu bapa mangsa dan mereka memaklumkan tiada aduan buli sebelum ini.

“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kiri badan termasuk patah tangan kiri, patah tulang selangka kiri, patah tulang pinggul serta kecederaan pada paru-paru kiri tetapi kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Adzli berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terjatuh dari tingkat empat bangunan yang ketika itu tidak digunakan kerana dikhaskan untuk sesi petang.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian terdapat dua buah kerusi di tingkat empat dipercayai digunakan mangsa sebelum kejadian. Rakaman menunjukkan mangsa jatuh pada pukul 7.58 pagi dan selang seminit kemudian pekerja pembersihan dilihat memberi bantuan dan beberapa keping nota tulisan tangan turut ditemui dan dirampaa bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507D Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini