GUA MUSANG: Seorang pekerja kebun sayur warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di tepi Jalan Lojing Lama, dekat sini, hujung bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada LI Thein Tay, 51, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Pengakuan tidak direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Bjay.
Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Lojing Lama, Pos Brooke di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 27 Februari hingga pukul 1 pagi pada 28 Februari lalu.
Thein Tay didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa.
Terdahulu, mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dilapor ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kesan tusukan pada bahagian dada kiri, di tepi Jalan Lama Lojing, Pos Brooke, di sini pada 28 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintenden Azlan Che Abdullah berkata, pusat kawalan Ibu pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima panggilan telefon kira-kira pukul 4.35 pagi daripada anggota bertugas di Pondok Polis Lojing yang memaklumkan penemuan mayat tersebut. – UTUSAN










