PdPR di Kota Setar, Pendang berjalan lancar

PdPR di Kota Setar, Pendang berjalan lancar

SHAHIRA Azizan memantau sesi PdPR dua anak saudaranya, Khayla Zahra Mohd Zahir, 11 (kiri) dan Khayla Zulfa Mohd Zahir, 9, berikutan cuaca panas melampau di Taman Vistana Indah, Alor Setar, Kedah semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini me­nyaksikan ribuan pelajar di Daerah Kota Setar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula semalam bagi mengelak risiko kesihatan kepada warga sekolah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan ibu bapa dan pelajar di daerah ini melaksanakan PdPR dari rumah dengan menggunakan pelbagai platform seperti Google Meet, Google Classroom dan aplikasi WhatsApp bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terjejas walaupun tidak hadir ke sekolah.

Seorang suri rumah, Shahira Azizan, 32, berkata, walaupun kurang bersetuju dengan pelaksanaan PdPR kerana bimbang penyampaian guru tidak sampai, dia akur demi keselamatan dan kesihatan anak.

“Saya menjaga dua anak saudara yang mengikuti PdPR, kalau ikutkan saya lebih suka mereka ke sekolah sebab sesi pembelajaran yang lebih berkesan tetapi saya tahu risiko sebab cuaca terlalu panas.

“Ada juga rakan yang maklumkan kekangan mereka contohnya dalam satu keluarga ada tiga anak yang ikuti PdPR tapi hanya ada satu peranti,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Pelaksanaan PdPR selama tiga hari sehingga Selasa melibatkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar dan Pendang selepas ke­dua-dua daerah itu merekodkan bacaan suhu harian pada Tahap 2 (gelombang haba) selama tiga hari berturut-turut.

Seorang lagi ibu, Noraini Jusoh, 45, berkata, keputusan melaksanakan PdPR adalah wajar memandangkan keadaan cuaca sejak kebelakangan ini amat panas terutama pada waktu tengah hari.

“Kalau anak-anak berada di sekolah mungkin mereka terdedah kepada panas ketika ber­jalan ke kantin atau melakukan aktiviti luar.

“Sekurang-kurangnya dengan PdPR mereka belajar dalam keadaan lebih selesa di rumah,” katanya.

Bagi murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, Khayla Zahra Mohd. Zahir, 11, dia lebih bersedia mengikuti PdPR kali ini berbanding pertama kali melaluinya ketika pandemik Covid-19 lalu.

“Masa pertama kali PdPR dahulu saya rasa kekok sikit sebab tak pernah belajar dalam telefon dan cikgu tiada di depan macam di sekolah tapi lama-kelamaan saya dah faham dan rasa lebih selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×