Pameran penyu di Pesta Pelita Raya diarah tutup

Pameran penyu di Pesta Pelita Raya diarah tutup

PENYU diletakkan di dalam kolam sempit di Pesta Pelita Raya di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, yang tular dalam media sosial dan mendapat aduan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan kolam pameran penyu di tapak Pesta Pelita Raya (PPR) di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini ditutup serta-merta petang semalam.

Ia berikutan tular dalam media sosial mengenai tindakan sebuah pavilion daerah yang menggunakan penyu sebagai tarikan dengan meletakkan haiwan marin itu di dalam kolam sempit di tapak pesta. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan segera diambil sebaik sahaja menerima aduan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyu adalah spesies dilindungi dan sensitif terhadap cahaya terang serta persekitaran bising seperti di tapak PPR. Malah saya ditanda dalam satu hantaran dalam media sosial oleh sebuah NGO alam sekitar dan tindakan drastik terus diambil oleh penganjur PPR,” katanya di sini.

Razali berkata,  kolam penyu yang dikendalikan oleh  sebuah Pejabat Tanah Daerah (PTD) itu dialihkan dan dibawa keluar dari tapak pesta pada petang semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemilik pavilion supaya lebih peka dan sensitif dalam merancang sebarang aktiviti bagi menarik pengunjung supaya tidak menyalahi undang-undang atau menjejaskan kebajikan haiwan.

Sementara itu, Pengarah JPNT, Hilman Hajijan berkata,  pihaknya kesal dengan kejadian itu dan mengarahkan pameran berkenaan dihentikan serta-merta demi kebaikan semua pihak.

“Sebagai pecinta penyu, saya  tidak menyokong tindakan itu kerana kita sedia maklum penyu tidak sesuai ditempatkan dalam ruang sempit dan terdedah kepada cahaya terang.  Pihak penganjur juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pameran itu,” katanya.

Hilman berkata, kejadian itu menjadi pengajaran buat pihak JPNT untuk memperketat garis panduan pada masa akan datang dalam menganjurkan sebarang program. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini