SABAK BERNAM : Program Aspirasi MADANI 2026 ( PAM 2026) anjuran Kolej Komuniti Sabak Bernam di sini baru-baru ini berjaya menghimpunkan warga Politeknik dan Kolej Komuniti ( POLYCC) serta penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kolej tersebut. .
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kolej Komuniti Sabak Bernam, program dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ( JPKK) itu turut menyaksikan penyerahan simbolik sumbangan Yayasan Selangor melalui Selangor Internship Student Programme 2026 bernilai sebanyak RM 11,100 kepada pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam
Mereka merupakan pelajar yang sedang mengikuti latihan Work Based Learning ( WBL) di Gamuda Engineering Sdn Bhd serta sumbangan dua unit penghawa dingin untuk ruang rehat pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam.
Kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee brahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ( KPPK) Dr. Shamsuri Abdullah memeriahkan lagi suasana program yang dimulai dengan Aktiviti Lenggang Lenggok Rentas Desa mengelilingi kampung sekitar kolej dengan berjalan kaki.
Anesee berkata, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan bagi mendekatkan komuniti dengan institusi pendidikan tinggi di daerah ini, serta bagi memastikan kebajikan warga pendidikan sentiasa terjaga melalui Program Back to School.
“ Kita tidak mahu ada pelajar yang terpaksa melupakan impian hanya kerana kekangan kewangan dan tidak mahu ada bakat yang terhenti di pertengahan jalan hanya kerana kurang sokongan.
“ Inilah semangat Malaysia Madani, yang mana pendidikan perlu menyantuni dan membuka ruang untuk setiap anak bangsa untuk melangkah jauh,” katanya.
Seramai 68 warga POLYCC terdiri daripada anak-anak kakitangan dan pelajar daripada golongan asnaf serta keluarga yang berpendapatan rendah diraikan bagi meringankan beban persediaan persekolahan mereka.
Walau bagaimanapun, penganjuran program tersebut membawa matlamat lebih besar dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi Kolej Komuniti sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ( TVET).
Institusi berkenana juga melaksanakan kursus jangka pendek dan program Micro Credential bagi meningkatkan kemahiran yang fleksibel serta praktikal dalam kalangan masyarakat bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Setakat ini terdapat dua institusi POLYCC di daerah berkenaan iaitu Kolej Komuniti Sabak Bernam yang terletak di pekan Sabak dan Politeknik Sultan Idris Shah di Sungai Lang dan Sungai Air Taw.-UTUSAN











