Operasi tren terakhir Laluan Putrajaya diubah bagi kerja baik pulih

Operasi tren terakhir Laluan Putrajaya diubah bagi kerja baik pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jadual operasi tren terakhir bagi Laluan Putrajaya pada hari ini dan esok diubah bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan susulan insiden kecurian kabel bekalan kuasa yang menjejaskan operasi perkhidmatan.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) menerusi kenyataan memaklumkan, tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral menghala ke Kwasa Damansara pada pukul 11.35 malam ini dan 11.05 malam esok akan ditamatkan di Stesen Metro Prima.

Bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan, perkhidmatan bas percuma akan disediakan dari Stesen Metro Prima ke stesen-stesen seterusnya sehingga ke Stesen Kwasa Damansara dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit.

“Selain itu, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara juga boleh menggunakan Laluan Kajang sebagai laluan alternatif,” katanya.

Perkhidmatan tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral bagaimanapun kekal beroperasi seperti biasa tanpa sebarang perubahan.

Katanya, langkah itu diambil bagi mempercepat proses pemulihan infrastruktur yang terjejas supaya operasi perkhidmatan Laluan Putrajaya dapat kembali berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat.

“Sejak insiden kecurian kabel dikesan pada 3 Mac lalu, pasukan teknikal Rapid Rail digerakkan sepenuhnya untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan terhadap infrastruktur yang terjejas bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil.

“Bagi mempercepat kerja baik pulih, tempoh kejuruteraan pada waktu malam Sabtu dan Ahad akan dipanjangkan bagi memberi ruang tambahan kepada pasukan teknikal menjalankan pemasangan semula kabel, pengujian sistem serta pemeriksaan keselamatan ke atas infrastruktur terlibat,” katanya.

Penumpang dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN