KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh daripada 10 kes kematian yang direkodkan sepanjang 13 hari Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) di negeri ini melibatkan penunggang motosikal.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, situasi itu sangat membimbangkan meskipun jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan.
Katanya, statistik menunjukkan kemalangan berkurangan sebanyak 15.1 peratus iaitu daripada 840 kes tahun lalu kepada 713 kes tahun ini.
“Namun, jumlah kematian meningkat sebanyak 42.9 peratus iaitu daripada tujuh kes kepada 10 kes. Ini menunjukkan walaupun jumlah kemalangan menurun, tahap keseriusan kemalangan semakin meningkat,” katanya pada Majlis Penutup Op HRA dan Operasi Khas Motosikal peringkat negeri, di sini.
Mohd. Zamri berkata, kebanyakan kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal bukan berpunca daripada faktor cuaca atau keadaan jalan, sebaliknya disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri.
“Antara punca dikenal pasti ialah memandu dengan kelajuan tinggi, tidak mengekalkan jarak selamat, gagal menjangka pergerakan kenderaan di hadapan serta kurang tumpuan ketika menunggang.
“Ini bukan soal jumlah kemalangan semata-matatetapi tahap bahaya setiap kemalangan yang berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 25,519 kenderaan diperiksa dengan 1,215 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, memandu di bawah umur serta menggunakan lesen tamat tempoh.
Katanya, sebanyak 44 kenderaan turut disita melibatkan 24 motosikal, 16 kereta dan dua lori.
Dalam Operasi Khas Motosikal pula kata beliau, pihaknya mengesan tindakan berbahaya apabila seorang penunggang motosikal bertindak merempuh sekatan jalan raya sebelum melarikan diri.
“Malah, terdapat juga kes seorang wanita menunggang motosikal bersama dua anak tanpa lesen dan cukai jalan. Situasi ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap pematuhan undang-undang jalan raya masih rendah,” katanya. – UTUSAN










