BUKIT MERTAJAM : Polis merampas pelbagai barangan sisa elektronik atau e-waste bernilai kira-kira RM350,000 dalam satu serbuan di sebuah kilang yang menjalankan aktiviti memproses barang kitar semula di kawasan Industri Ringan Asas Jaya di sini, semalam.
Dalam serbuan yang sama, seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang dipercayai pekerja kilang tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, serbuan itu dilakukan sempena satu operasi bersepadu yang dikenali sebagai Op Hazard dengan kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Hasil pemeriksaan mendapati, kilang tersebut digunakan untuk memproses barangan e-waste dan barangan lusuh seperti telefon bimbit, tablet serta papan litar elektronik atau ‘motherboard’.
“Pemeriksaan lanjut oleh JAS mendapati, kilang berkenaan juga dipercayai menjalankan aktiviti memproses e-waste tanpa kebenaran yang sah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Helmi, susulan serbuan terbabit, pihaknya merampas empat beg jumbo berisi campuran e-waste dalam skrap termasuk gegelung kuprum serta sembilan guni berisi campuran e-waste tablet, telefon bimbit dan papan litar elektronik.
“Kesemua barang rampasan ini telah diserahkan kepada JAS negeri untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati, kilang terbabit didaftarkan di bawah syarikat tempatan dan beroperasi sejak awal tahun 2023 serta mempunyai kebenaran menjalankan aktiviti jual beli barangan lusuh dan kitar semula.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengurusan sisa elektronik atau sebaliknya.-UTUSAN










