TUMPAT: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) cacat kaki dan tangan membuktikan kekurangan yang ada pada diri bukan penghalang apabila mampu menjual 3,000 biji telur masin sepanjang minggu pertama Ramadan.
Zauyah Derahman, 40, berkata, dia terkejut dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada pelanggan pada Ramadan tahun ini.
Katanya, kebiasaan rekod jualan itu dicatatkan sepanjang tempoh sebulan pada hari-hari biasa.
“Alhamdulillah, situasi itu menyebabkan saya tidak menang tangan menyiapkan telur itik masin yang sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Bagaimanapun, ketika ini saya berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan dari Tanah Merah kerana stoknya sangat terhad,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zauyah berkata, dia kini dibantu suaminya, Abdul Rahman Ya, 40, untuk kerja-kerja membersihkan telur itik dan memproses air garam.
“Kebanyakan pelanggan dari merata-rata tempat termasuk Sabah dan Singapura. Untuk Sabah dan Singapura itu saya menggunakan perkhidmatan kurier.
“Yang jauh saya pos, tetapi saya hantar telur masin yang sudah masak. Ketika ini, kebanyakan pelanggan datang ambil sendiri di rumah saya,” ujarnya yang mempunyai empat anak termasuk tiga anak tiri. UTUSAN









