Kita agak terkilan melihat mana-mana individu dibawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaiki atau turun kenderan memakai baju berwarna oren milik agensi berkenaan untuk dimohon perintah tahanan reman.
SPRM melakukan demikian bagi menyiasat individu berkenaan kerana disyaki terbabit rasuah.
Mereka yang kita lihat sebelum ini atau rutinnya bekerja menyarung seragam warna korporat agensi masing-nasing tetapi tiba tiba dikenakan pakaian kemeja SPRM berwarna oren.
Demikian kisahnya apabila berada dalam radar SPRM, maka akan dipanggil untuk direkod beri keterangan sebelum direman. Ringkasnya SPRM memiliki semua atau ringkasnya 3R iaitu radar, rekod dan reman.
Ini bukan kisah 3R mengenai alam sekitar iaitu reduce (kurangkan) reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula) atau racial, royal dan religion tapi satu pengkisahan jenayah rasuah yang mempunyai kronologi 3R makin menggerunkan.
Sebelum ini isu rasuah banyak disebut sebagai jenayah kolar putih, bukan semestinya berkemeja putih.
Mereka mungkin golongan pegawai yang mempunyai kuasa membuat keputusan atau dengan kata lain dengan kuasa itulah yang menjadikan individu berkenaan terdedah kepada rasuah.
Namun ketika ini, mereka yang terdedah dengan perbuatan rasuah bukan semestinya golongan tersebut, tetapi kita dapati semua pihak tanpa mengira pangkat dan kuasa juga terjerumus dengan tabiat tersebut yang juga disebut suapan atau tumbuk rusuk.
Hari ini bukan sahaja pegawai besar terlibat, tetapi golongan pekerja biasa juga terpalit rasuah.
Ini diakui sendiri oleh Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim bahawa perbuatan itu bukan lagi sekadar salah laku individu, malah ia menghakis kepercayaan rakyat, melemahkan institusi dan merosakkan masa depan generasi akan datang.

Negara tidak boleh berkompromi dengan rasuah. Integriti mesti dipertahankan tanpa pilih kasih. Kata Jais, jenis jenayah rasuah yang paling serius atau sering membawa kepada tangkapan di negara ini adalah menerima rasuah oleh penjawat awam.
Pada 2023 sahaja, tangkapan bagi kes menerima rasuah meningkat ketara iaitu daripada 354 kepada 527 orang, jauh lebih tinggi berbanding memberi rasuah.
Sebelum adanya SPRM agensi membasmi rasuah ini di bawah kendalian Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau asalnya Biro Siasatan Negara.
SPRM ditubuhkan pada 1 Januari 2009 menggantikan BPR menerusi Akta SPRM 2009. SPRM yang berstatus suruhanjaya mempunyai lebih autonomi dan diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Paling menakutkan adalah skandal rasuah besar yang melibatkan jumlah wang, dan impak paling serius.
Skandal 1MDB, misalnya melibatkan penyelewengan berbilion ringgit dan membawa kepada pendakwaan serta hukuman berat terhadap bekas pemimpin negara.
Kata Jais, kes rasuah dalam kontrak kerajaan dan perolehan besar seperti pertahanan, bekas ketua tentera dan pegawai kanan menghadapi tuduhan berkaitan rasuah dalam kontrak pertahanan, menunjukkan perbuatan tersebut bukan isu kecil tetapi menembusi sektor strategik negara.
“Walaupun semua bentuk rasuah berbahaya, secara statistik, kes menerima rasuah oleh penjawat awam adalah yang paling sering membawa kepada tangkapan SPRM setiap tahun.
“Namun, daripada segi impak dan persepsi, skandal besar seperti 1MDB dan kes perolehan pertahanan dianggap paling serius kerana melibatkan kerugian berbilion ringgit dan kesan sistemik terhadap tadbir urus negara,” ujarnya.
Kata beliau, apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (YDPA) selaku institusi tertinggi negara sendiri yang bersuara, ia adalah isyarat jelas bahawa semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, penjawat awam dan sektor swasta mesti bertindak dengan lebih tegas dan berani.
“Saya ingin tegaskan bahawa apabila Agong sendiri menyentuh soal rasuah, itu bukan lagi perkara kecil. Ia mencerminkan bahawa isu ini telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan negara.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini menzahirkan amaran tegas bahawa lebih ramai individu berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan.
Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.
Saya memetik titah Baginda : “ Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima, malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.
“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Tidak kira apa jua pangkat anda, begitu juga ejen-ejen yang menjadi “orang tengah” selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan, anda juga dalam ‘radar’. ’’
Kata Jais, berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan Transparency International baru-baru ini, CPI Malaysia mencatat 52 mata dan berkedudukan ke-54 dunia daripada 182 negara. Ini naik dua mata dan naik tiga tangga daripada tahun sebelumnya.
Berlaku trend peningkatan positif, bermaksud persepsi rasuah sedikit menurun berbanding tahun sebelum ini. Pada 2024 dan 2023, CPI Malaysia mencatat 50 mata dan berada di kedudukan ke-57.
Kata Jais, walaupun berlaku peningkatan skor 52/100 masih jauh daripada negara yang paling bersih (sekitar 80-90). Ini menunjukkan tanggungjawab antirasuah masih perlu dipertingkat secara konsisten.
Namun kata beliau “Apabila YDPA menyebut ‘radar’, mesejnya jelas, era ‘tak apa’ sudah tamat.”
Radar di sini bermaksud pemantauan, maklumat dan tindakan bukan retorik. Radar sudah ON maka yang tinggal hanya keberanian negara untuk bertindak.
Isunya, siapa yang sanggup berada dalam circle yang menggerunkan dan menjijikkan itu tidak kira kedudukannya. Penggali kubur, malah seseorang yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi berpotensi melalui lingkungan 3R ini dan ia isu besar sebagai perbuatan salah laku.
Bagi Pushpan Murugiah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), rasuah masih berskala besar melibatkan jaringan politik, perniagaan dan institusi.

“Meski pun terdapat beberapa pendakwaan berprofil tinggi serta sedikit peningkatan dalam kedudukan CPI, kita perlu jujur bahawa langkah-langkah yang diambil setakat ini, lebih bersifat penguat kuasaan kes demi kes.
“C4 menyeru kepada beberapa pembaharuan utama iaitu pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan jaminan kebebasan sebenar daripada eksekutif, pembaharuan menyeluruh SPRM termasuk mekanisme pelantikan dan pengawasan Parlimen yang mempunyai kuasa substantif, penggubalan undang-undang pembiayaan politik, pengisytiharan aset secara terbuka dan berkala bagi pegawai kanan kerajaan dan ahli parlimen Akta Perolehan Kerajaan lebih komprehensif dan penubuhan
Ombudsman,” ujar beliau.
Peluru SPRM sudah menembusi ramai sasaran pelbagai lapisan dan kedudukan, tapi ‘ledakan’ C4 ini perlu juga diberi perhatian.
Namun, izinkan saya memetik kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung rasuah yang berkaitan pentadbiran dan keagamaan. Kalau tidak silap Dr. Mahathir pernah buat kenyataan yang lebih kurang bunyinya ‘ambil rasuah tapi masjid penuh juga’. Sinis betul pandangan tersebut, tapi secara halus menegur sikap orang kita.
Beliau juga pernah menyindir, menggunakan wang rasuah untuk pergi mengerjakan haji atau umrah tidak menjadikan tindakan itu halal, meski pun ia digunakan untuk tujuan yang dianggap baik oleh agama.
Mahathir menegaskan bahawa “wang hasil salah laku tetap haram,” tidak kira digunakan untuk sedekah.
Tidak kurang menariknya, seorang pemimpin dalam organisasi kepolisian menempelak perbuatan segelintir individu yang disifatkannya mencuci duit rasuah dengan pergi ke Mekah.
Kenapa agama difitnah dan amalan agama dijadikan pelindung salah laku, bukannya sebagai benteng keimanan? –UTUSAN










