Menanti jenama baharu agenda penyatuan Melayu

Menanti jenama baharu agenda penyatuan Melayu

PERPADUAN MELAYU berasaskan politik tidak kekal lama disebabkan niat sebenarnya untuk mengekalkan kuasa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak kira apa juga alasan, isu penyatuan Melayu atau perpaduan Melayu, semacam mengitar surat khabar lama, serta tidak tahu apa tujuan dan penghujungnya, tetapi dijaja secara bermusim.

Biasanya orang Melayu akan terfikir untuk mencari titik penyatuan apabila mereka berasa terancam, dan ada pihak tertentu yang dianggap menjadi seteru sama, menjadi pencetus ancaman kononnya kepentingan Melayu sedang terhakis.

Maka bangkitlah semangat orang Melayu ini untuk bersatu. Biduk berlalu kiambang bertaut?

Ketika ini mereka akan terfikir perlu bersatu untuk menentang musuh yang sama. Saya kata ini hanyalah mengitar isu lama secara bermusim apabila berasa diancam.

Malangnya sejak isu ini dimainkan, perpaduan atau penyatuan Melayu lebih melibatkan parti politik seolah-olah mereka sahajalah membawa agenda perpaduan, sedangkan punca perpecahan Melayu berlaku kerana banyaknya parti politik ini.

Parti-parti politik menjadi papan catur orang Melayu. Orang Melayu dimomokkan sedang terancam dan merekalah menjadi buah caturnya.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkongsi pandangan kepada saya bahawa penyatuan Melayu jika hendak direalisasikan mestilah melibatkan semua parti parti besar dan dominan Melayu iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan disertai oleh parti parti kecil lain antaranya Pejuang, Putra, dan parti Berjasa.

 

 

Beliau secara mudah mendakwa jika ada parti yang tertinggal atau ditinggalkan, maka usaha penyatuan tersebut tidak akan memberi sebarang makna.

Beliau turut berharap pemimpin-pemimpin parti Melayu seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berbincang mengenai isu orang Melayu yang tidak terhad kepada politik semata mata dan mengisytiharkan deklarasi bersama, dan seterusnya bersalam salam secara terbuka di hadapan media bagi memperlihatkan bibit bibit permulaan penyatuan Melayu.

Beliau turut menyarankan supaya kenyataan media atau perbalahan di ruang terbuka antara pemimpin pemimpin parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dihentikan sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-16 bagi meredakan ketegangan,perbalahan dan perseteruan politik sedia ada.

“Saya boleh katakan ini adalah “gencatan senjata politik Melayu” bagi memastikan usaha penyatuan dapat direalisasikan,“ kata Mohammad Tawfiq lagi.

Jika ada isu melibatkan orang Melayu dalam tempoh ini, maka pemimpin pemimpin politik Melayu perlu berbincang dan mengeluarkan kenyataan secara bersama.

Tindakan seperti itu mampu mengelakkan pecah- belah politik dan menangani isu secara bersama.
Soalnya, mampukah parti politik ini menjadi medan penyatuan Melayu.

Melayu berpecah kerana agenda parti-parti politik ini yang mempertahankan asas penubuhan masing-masing atas apa jenama perpaduan sekali pun.

Apabila kita flash back usaha penyatuan orang Melayu, ia ada naratifnya.

Dulu ada Muzakarah UMNO-Pas yang merujuk kepada perbincangan dan kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang bermula secara terbuka sekitar 2019 atau lebih awal daripada itu.

Muzakarah tersebut pada saya, satu jenama perpaduan Melayu. Namun yang menjadi masalah, parti- parti politik yang mempunyai Perlembagaan sendiri menjadi belati perbezaan untuk dijadikan syarat sebelum mewujudkan penyatuan itu.

Tujuan muzakarah adalah bagi menyatukan orang Melayu/Islam, mempertahankan Islam dan kedudukan Melayu, serta menyatukan kekuatan politik selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 (2018). Antara hasil muzakarah tersebut membawa kepada pembentukan MN, iaitu satu piagam kerjasama rasmi UMNO-Pas yang ditandatangani pada 14 September 2019.

Muzakarah tersebut adalah usaha penyatuan politik Melayu-Islam yang penting dalam sejarah politik Malaysia pasca 2018, walaupun hubungannya berubah-ubah mengikut keadaan politik semasa.

Pada 2018, Muzakarah tersebut diwujudkan selepas PRU-14 ekoran tumbangnya BN dan UMNO hilang kuasa manakala Pas kekal pembangkang. Natijahnya mula wujud kesedaran untuk satukan undi Melayu-Islam.

Seperti yang saya sebutkan awal-awal lagi, terfikir untuk bersatu jika rasa terancam. Cuma bezanya perbincangan diadakan secara tertutup yang memfokus kepada agenda Islam, Melayu, Raja-Raja dan Perlembagaan.

Sebenarnya ada banyak siri kronologi muzakarah tersebut dan banyak merubah hubungan UMNO-Pas.

Pada PRU-15 (2022) UMNO dan Pas bertanding berasingan dan ketika ini PAS/PN menang besar, sedangkan UMNO merosot teruk.

Sebab itu saya menegaskan perpaduan atau penyatuan Melayu menerusi platform parti kelihatan berkesan kononnya ada jentera dan manuver tetapi apabila agenda perpaduan itu untuk mengekalkan kuasa, maka perpaduan itu ibarat slogan meraih sokongan.

Kenapa apabila menyebut perpaduan Melayu hanya UMNO dan Pas disebut?
Ini kerana agendanya bukan menyelamatkan orang Melayu daripada segala macam ancaman yang saya sebutkan lebih awal, sebaliknya bagaimana dan siapa berkuasa dan hanya melibatkan parti ini sahaja yang ada kerusi dalam Parlimen.

Seorang lagi penganalis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali mengakuinya dan berpendapat, dalam konteks demokrasi Malaysia, penyatuan sekadar slogan dan tidak dapat diterjemah dalam konteks politik sebenar.

Beliau memberi contoh krisis politik di Perlis.

Kata beliau, meski pun terdapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 14 daripadanya kawasan Melayu, masalah tetap berlaku.

“Seorang menteri besar digantikan menteri besar lain daripada gabungan parti yang sama dan ada pengkhianatan parti lain, “ ujarnya dan menambah kes tersebut menunjukkan penyatuan Melayu sekadar retorik politik.

Memang betul, dua parti berkenaan daripada gabungan sama tetapi Pas pernah bekerjasama dengan UMNO dalam MN dan keluar meninggalkan gabungan itu untuk menyertai Bersatu membentuk PN.

Maka, apa relevannya menubuhkan MN 2.0 kalau MN 1.0 dulu pun gagal?

Mungkin cadangan Mohammad Tawfik supaya ada nama gabungan baharu boleh diguna pakai lain, tetapi bagi saya mekanisme lebih penting walau apa pun nama gabungan itu nanti.

Menggabungkan parti parti Melayu kecil dan besar di bawah satu payung sebenarnya ibarat kapal kehilangan kemudi, kerana sukar mencari siapa pemimpinnya.

Mungkin juga banyak (parti), ibarat buih di lautan dan apabila diuji dengan ombak kecil sekali pun, buih akan pecah bertaburan.

Nasib parti parti tanpa kerusi tidak akan dipedulikan kemudiannya, melainkan payung baharu ini bertujuan memudahkan agihan kerusi bertanding pada pilihan raya umum demi memberi nyawa kepada mereka.

Kalau sekadar simbolik bersatu kerana berhimpun atau duduk semeja semata-mata, duduklah sahaja beramai-ramai di kedai mamak.

“Bagi saya perlu ditubuhkan sebuah parti gabungan yang baharu dan tinggalkan jenama politik lama seperti MN dan PN bagi mengenepikan sentimen parti,” ujar Mohammad Tawfik pula.

Namun saya kurang bersetuju dengan idea beliau kerana cadangan memperkenalkan jenama baharu, ibarat menuang racun daripada satu botol ke botol lain, dan diberi label baharu. meski pun isinya tetap racun.

Sekiranya berkumpul sekadar untuk menyanggah antara satu sama lain, ia lebih melebarkan ruang sengketa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×