Daripada rakyat untuk rakyat dan kepada rakyat. Jelas prinsip demokrasi itu memberi penekanan rakyat sebagai stake holders dalam pentadbiran kerajaan.
Beberapa minggu kebelakangan ini, kita melalui fasa seakan-akan satu pesta demokrasi apabila berlaku pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke -17 yang menunjukkan kuasa kembali diserah kepada rakyat.
Wakil rakyat yang diundi sudah diperoleh dan kerajaan demokrasi sudah pun ditubuh.
Sepanjang kempen diadakan, pelbagai janji ditabur dan kini masa untuk menunaikannya. Kabinet Sabah yang mengandungi 10 menteri maksimum, sudah diisi.
Baru baru ini pula, Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan dirombak dengan pengisian menteri baharu, tetapi pesta demokrasi sepatutnya sampai ke penghujung masih bersambung.
Ini kerana rakyat sedang menuntut janji, sama ada sukar atau mudah ditunaikan, tetap perlu direalisasikan. Isunya bila?
Beberapa menteri yang mengangkat sumpah baru-baru ini menggalas harapan kerajaan dan mereka diingatkan supaya bekerja untuk rakyat.
Mereka dituntut bekerja untuk rakyat. Demikian pesanan mereka terima daripada kiri dan kanan. Harapan orang ramai merupakan tanggungjawab. Harapan itu boleh bertukar kekecewaan jika gagal ditunaikan.
Jika mereka menjanjikan bulan bintang, terpulanglah bagaimana mahu menunaikannya, jika ingin terus kekal.
Kerajaan dan wakil rakyat akan menjadi punching bag meluah kekecewaan jika gagal memenuhi janji. Gaya hidup merendah diri di hadapan rakyat, setakat mampu beli jiwa, kerana rakyat tidak merasai kesan perbuatan tersebut.
Lebih mendukacitakan, kegagalan menunaikan janji tidak dianggap satu kesalahan kerana janji bukan kitab suci.
Meski pun manifesto bukan kita suci , tetapi ia adalah satu maruah, integriti apatah lagi bagi wakil rakyat beragama Islam, tidak menunaikan janji dikategorikan salah satu sifat munafik.
Bagi seorang bekas wakil rakyat Tan Sri Lee Lam Thye, beliau berpendapat adalah menjadi satu amanah kepada wakil rakyat yang dipilih.
“Rakyat sudah mengundi mereka untuk membela nasib, janganlah amanah ini tidak ditunaikan,“ ujarnya.
Untuk berlaku adil, pelbagai pihak menuduh wakil rakyat yang tidak menunaikan janji ini, termasuklah mereka antaranya, yang pernah menjadi wakil rakyat atau memegang kuasa.
Lihat sahaja di media asal, menerusi program audio siar (podcast), ada beberapa mereka yang pernah menduduki tampuk kuasa juga menuduh wakil rakyat atau pemimpin tidak bekerja, ada sahaja yang tidak kena itu dan ini.
Menuduh orang tertentu tidak menunaikan tanggungjawab adalah satu hal, tetapi penyakit lebih berbahaya tidak melaksanakan kerja ketika sedang memegang tampuk kuasa atau patut berbuat demikian ketika berkuasa juga wajar dipersoalkan.
Bermakna, jangan mudah mengkritik jika sendiri tidak mampu melakukannya ketika sepatutnya berbuat demikian.
Saling cabar mencabar, mendakwa itu dan ini bukan satu amalan yang baik. Lakukanlah ketika mampu berbuat demikian supaya orang tidak berkata, mulut berkokok berdegar-degar, tetapi ekor bergelumang najis.
Isu wakil rakyat dan mereka yang berwewenang tidak melaksanakan janji mengingatkan saya kisah cerita filem Tamil dan Hindi.
Cerita Tamil berjudul Mudhalvan diterbitkan pada 1999, manakala Nayak versi Hindi keluar pada 2001.
Kedua-dua filem diarahkan oleh S. Shankar. Ceritanya hampir sama, seorang wartawan muda dicabar menjadi Ketua Menteri selama satu hari. Perubahan dilakukan di kawasan-kawasan yang terjejas oleh birokrasi dan rasuah.
Nayak juga terkenal kerana mesej sosialnya, terutama tentang tanggungjawab politik dan integriti.
Mudhalvan dibintangi Arjun Sarja dan Manisha Koirala mengisahkan Pughazhendhi seorang wartawan televisyen yang berani.
Dalam satu temu bual secara langsung, dia mencabar Ketua Menteri Tamil Nadu untuk memberinya kuasa selama sehari. Cabaran itu diterima, dan secara mengejut, Pughazhendhi berjaya mendedahkan rasuah, memecat pegawai korup, dan melaksanakan perubahan drastik dalam tempoh singkat. Keberaniannya membuatkan rakyat mahu dia terus memimpin, lalu dia akhirnya menjadi Ketua Menteri.
Namun, kuasa datang bersama ancaman politik, konspirasi, dan ujian moral.
Cerita tersebut mengangkat tiga tema utama iaitu antirasuah dan integriti, kuasa media dan kepimpinan serta keberanian rakyat menentang sistem rosak.
Moral ceritanya adalah watak wartawan diangkat sebagai Ketua Menteri selama 24 jam dan semua ahli politik memandang rendah, menyangka dia akan gagal atau takut.
Ketua Menteri baharu itu khabarnya memanggil pegawai kanan kerajaan dan mengarahkan laporan segera tentang rasuah, kelewatan projek dan aduan rakyat yang menunjukkan kepimpinan berasaskan data, bukan retorik. Dia juga mengambil tindakan memecat serta-merta pegawai yang gagal atau rasuah dan ada yang ditangkap.
Ketua Menteri itu juga melakukan reformasi secara pantas iaitu menyiapkan projek terbengkalai, pengeluaran lesen dan permit dipercepat dan akhirnya rakyat mula percaya perubahan boleh berlaku meski pun dia berdepan ancaman keluarganya diugut, berlaku keganasan dan adanya fitnah media.
Mungkin ada yang berkata, cerita itu hanyalah rekaan semata-mata, dan berdasarkan kemahuan skrip dan pengarah, tetapi filem sebagai media sosial boleh menceritakan sesuatu atau membawa mesej untuk kita renungi.
Itu cerita filem mengenai cabaran seorang ketua menteri, tetapi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang mengingatkan perlunya menghindari rasuah, meski pun beliau berdepan ancaman sehingga rumahnya disimbah cat.
“Kalau (tindak tanduk) berkait rapat dengan politik, ini cara lama, saya tidak sebut nama orang. Caci maki dan perkataan kesat, jangan guna kaedah politik lama ini, “ ujarnya yang baru kali pertama menjadi ADUN dipilih, bukan sebagai ketua menteri tetapi sudah pun menerima ancaman seolah -olah sedang memegang jawatan besar.- UTUSAN










