PETALING JAYA: Pemandu Perodua Bezza kini dalam keadaan trauma akibat nahas yang mengorbankan tiga individu termasuk cucunya berusia tujuh bulan dalam kejadian di Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini pagi tadi.
Anak mangsa, Muhammad Akbar Abdul Sukor, 28, berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kenderaan dinaiki ibu bapa dan nenek dalam perjalanan menghantar bayi lelaki berusia tujuh bulan ke taska.
Berkongsi kronologi kejadian, Akbar berkata, ayahnya memandu kereta Perodua Bezza sebelum sebuah motosikal dipercayai melanggar kenderaan mereka dengan kelajuan tinggi.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan bahawa keluarga mereka terlibat dalam kemalangan di persimpangan
“Saya tidak tahu orang kata 100 peratus cerita sebab ada dua cerita, tapi yang saya dengar yang secara sahihnya ni lah, ayah saya memandu, lepas tu motosikal tu datang sangat laju.
“Tujuan mereka menghantar anak buah saya ke taska kerana ketika itu kakak saya (ibu bayi) dan suaminya sedang berada di tempat kerja.
“Saya sendiri tidak pasti pertembungan itu melibatkan berapa kenderaan sebenarnya.
“Ketika ini, ayah mengalami trauma manakala ibunya mengalami kecederaan penglihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Akbar, neneknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak buah lelakinya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dan kini keluarganya sedang mempersiapkan untuk proses pengebumian.
Sementara itu, kakaknya yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian itu bapa, Ibu dan neneknya ingin menghantar anak buah ke taska.
“Ketika itu ayah saya mahu keluar simpang untuk menghantar anak buah ke taska, namun berlaku pertembungan dengan motosikal berkenaan.
“Mak dan ayah saya kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan ditempatkan di zon merah serta zon kuning, namun mereka sudah sedar,” katanya.
Sementara itu, katanya, anak saudaranya dijaga Ibu bapanya kerana adiknya kerap berulang-alik antara rumah keluarga dan rumah mentua berikutan kediamannya masih dalam proses pengubahsuaian.- UTUSAN











