PETALING JAYA: DAP menyindir Barisan Nasional (BN) selepas tiga Ahli Parlimennya tidak hadir di Dewan Rakyat semalam, sehingga mengakibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi menghadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri, gagal diluluskan.
Ketiadaan tiga daripada 30 Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat semalam mengakibatkan sokongan untuk meluluskan RUU tersebut gagal mencapai majorti dua pertiga daripada keseluruhan wakil rakyat.
Susulan kegagalan itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dalam satu hantaran Facebook menyindir BN yang sebelum ini didakwa berhasrat untuk bertanding di 115 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) depan.
Katanya, walaupun hanya memiliki 30 kerusi, namun BN gagal memastikan kehadiran penuh di kalangan Ahli Parlimennya untuk memastikan RUU dibentangkan diluluskan.
“Ada hati hendak tanding 115 kerusi pada PRU16 kerana mengintai kerusi Perdana Menteri. Itu hak kamu, boleh tanding semua kerusi. Syaratnya mudah, keluarkan 222 watikah calon. Kami tiada masalah.
“Jika setakat 30 Ahli Parlimen pun tidak dapat hendak pastikan kehadiran penuh. Tiga daripada 30 Ahli Parlimen kamu tidak hadir ke pengundian yang amat mustahak,” katanya semalam.
Sebaliknya, Kee Chin berkata, berbeza dengan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) yang kehadirannya penuh 100 peratus.
“Kami yang hanya ada 79 orang Ahli Parlimen boleh mencatatkan kehadiran penuh. Kehadiran penuh kami kerana sedar dan hormati mandat rakyat serta menyokong reformasi institusi,” katanya.
Semalam Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri selepas ia gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen. – UTUSAN











