KUALA LUMPUR: Model Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Pendidikan Khas akan diperluas ke lebih banyak lokasi di seluruh negara secara berperingkat bagi memastikan akses pendidikan Islam yang lebih inklusif kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Majlis agama Islam negeri-negeri.
“Kita mahu memastikan tiada anak-anak Islam yang tercicir daripada mendapat pendidikan agama yang sempurna, termasuk dalam kalangan murid berkeperluan khas,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan KAFA Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) di Pandan Perdana, di sini hari ini.
Kelas berkenaan yang diinisiatifkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan kelas KAFA khas masalah pendengaran pertama diwujudkan di Kuala Lumpur.
Zulkifli berkata, meskipun kelas KAFA untuk MBK sudah dilaksanakan sebelum ini di beberapa negeri, model di Pandan Perdana itu lebih khusus kerana menempatkan sepenuhnya murid masalah pendengaran tanpa dicampur dengan kategori lain.
“Setakat ini, seramai 10 murid berusia antara lapan hingga 12 tahun mengikuti kelas tersebut dengan bimbingan dua guru terlatih yang mahir dalam kaedah pengajaran serta komunikasi bahasa isyarat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut sedang memperkukuh Pelan Tindakan OKU Muslim termasuk membangunkan garis panduan masjid dan surau yang lebih mesra golongan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan akses ibadah dan pendidikan agama lebih menyeluruh.
“Anak-anak ini juga berhak memahami al-Quran dan fardu ain melalui metodologi yang sesuai dengan keupayaan mereka.
“Kita mahu budaya inklusif ini diperluaskan supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati pendidikan agama,” katanya.
Tambah beliau, model KAFA Pendidikan Khas itu akan terus diperkasa dengan sokongan pelbagai pihak termasuk penambahbaikan kemudahan, latihan guru serta kerjasama strategik bersama majlis agama Islam negeri-negeri di seluruh negara.-UTUSAN











