MN Holdings terima kontrak bina pencawang elektrik pusat data - Utusan Malaysia

MN Holdings terima kontrak bina pencawang elektrik pusat data

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh MN Holdings Berhad (MNHB), MN Utilities Engineering Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM216 juta bagi projek infrastruktur pusat data di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pakar infrastruktur bawah tanah dan kejuruteraan kuasa itu mengumumkan penerimaan Surat Setuju Terima (LOA) daripada sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pengehosan dan pemprosesan data (Syarikat A).

“Kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja reka bentuk, pembinaan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan sebuah pencawang pengguna (CS) bagi Plot 2 pusat data berkenaan.

“Skop kerja turut merangkumi pembekalan tenaga kerja, peralatan dan bahan binaan di dalam kawasan pencawang, termasuk pemasangan kabel voltan tinggi yang menghubungkan tapak-tapak pencawang tersebut,” katanya. 

Menurut MNHB, identiti pelanggan tersebut tidak dapat didedahkan buat masa ini berikutan perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Projek ini telah bermula secara rasmi pada 1 Februari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 September 2026.

Lembaga Pengarah MNHB berkata, kontrak tersebut dijangka akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 2026.

“Penerimaan kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia,” katanya. 

Setakat ini, tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN