KUALA LUMPUR: Pelakon, Marissa Yasmin mengakui tidak mudah baginya melakonkan adegan menjadi imam solat kepada jemaah lelaki dalam drama bersiri Walid, kerana situasi tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut Marissa, 48, dia membuat persediaan mental sebelum menjayakan babak berkenaan, termasuk mendapatkan pandangan beberapa ustaz serta memperbanyakkan istighfar sebelum penggambaran dijalankan.
“Sebelum melakonkan babak menjadi imam, pada malam sebelumnya saya memohon maaf kepada Allah. Dalam doa saya jelaskan bahawa niat saya bukan untuk memesongkan akidah, sebaliknya hanya melakonkan watak bagi menyampaikan mesej.
“Saya juga berasa bimbang sekiranya perkara yang kelihatan menyimpang itu memberi kesan kepada diri saya. Jadi sebelum penggambaran, saya akan banyak beristighfar dan berdoa agar diberikan kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar di ibu negara, baru-baru ini.
Marissa berkata, bagi menjayakan watak Ummi Hafizah yang digambarkan telah terpesong akidah, dia turut mendapatkan pandangan pakar agama agar mesej yang ingin disampaikan dapat memberi pengajaran kepada masyarakat.
“Selain itu, saya juga mendapatkan pandangan beberapa ustaz. Sebenarnya mesej yang cuba disampaikan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Kita mahu penonton faham bahawa perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan masyarakat perlu lebih peka apabila berdepan situasi sebegitu,” katanya.
Pada masa sama, Marissa tidak menafikan dia sudah menjangka akan menerima kecaman daripada segelintir pihak susulan watak tersebut, termasuk dituduh cuba memesongkan akidah.
“Mengenai babak menjadi imam itu, saya memang sudah bersedia menerima kecaman. Sudah tentu saya dihentam kerana ada yang melabel saya cuba memesongkan umat Islam.
“Namun satu perkara yang pasti, tujuan saya melakonkan babak itu bukanlah untuk memesongkan akidah mana-mana pihak.
“Sebaliknya ia bertujuan membuka mata masyarakat. Hakikatnya, perkara seperti itu pernah berlaku di tempat lain apabila seorang wanita menjadi imam dan di belakangnya terdapat lelaki serta perempuan yang mengikut solat.
“Niat saya hanyalah untuk memberi kesedaran kepada penonton. Jika perkara seperti imam wanita berlaku, masyarakat perlu lebih peka kerana dalam Islam memang tidak ada konsep wanita menjadi imam kepada lelaki,” katanya.
Walid merupakan sekuel kepada drama bersiri Bidaah yang pernah mencetuskan fenomena dengan mengisahkan perjalanan hidup Walid lakonan Faizal Hussein, bekas pemimpin ajaran sesat Jihad Ummah yang melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Drama itu mula ditayangkan minggu lalu dan turut menampilkan barisan pelakon lain seperti A. Tamimi Siregar, Aqasha serta pelakon Indonesia, Olla Ramlan. -UTUSAN










