KUALA LUMPUR: Peranan media amat penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan membantu pihak berkuasa menangani cabaran landskap jenayah yang semakin kompleks ketika ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, media bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat, malah membentuk persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, landskap jenayah kini berubah daripada jenayah fizikal kepada digital, selain melibatkan rangkaian rentas sempadan dan lebih terancang.
“Dalam konteks ini, media memainkan peranan penting bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah turut membentuk persepsi awam serta tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan, khususnya JSJ,” katanya pada Majlis Iftar JSJ bersama media yang dihadiri Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, semalam.
Katanya, dalam melaksanakan tanggungjawab itu, media juga perlu bijak menilai masa serta cara penyampaian sesuatu maklumat supaya tidak menjejaskan kepentingan awam.
Menurutnya, pemilihan masa atau timing dalam menyiarkan laporan juga adalah penting bagi memastikan maklumat disampaikan secara tepat tanpa menimbulkan salah faham atau menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya akur dan menerima hakikat tanggungjawab besar yang dipikul oleh rakan media namun anda juga mempunyai obligasi moral dan undang-undang untuk memastikan keamanan serta kesejahteraan sentiasa terpelihara, sekaligus memperkukuhkan ukhwah dan silaturahim sesama kita.
“Saya tidak mengatakan maklumat perlu olah atau disembunyikan. Kita perlu menyampaikan perkara yang benar sudah berlaku tetapi penggunaan ayat dan masa (penyiaran) juga penting,” katanya.
Kumar berkata, media dan polis mendukung satu misi sama iaitu memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
“Bezanya, media menggunakan pena, manakala kami menggunakan undang-undang dan elemen sedia ada untuk memastikan keselamatan serta keharmonian sejagat sentiasa terpelihara,” katanya.
Kumar berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan profesionalisme media dalam melaporkan isu jenayah secara berfakta dan bertanggungjawab.
Katanya, laporan media turut membantu PDRM meningkatkan kesedaran masyarakat, menyalurkan maklumat penting, serta menyokong usaha pencegahan jenayah.
“Namun menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan setiap laporan berkaitan kes jenayah disampaikan dengan penuh ketelitian dan integriti.
“Sebarang spekulasi, penyiaran maklumat yang belum disahkan atau pendedahan yang boleh menjejaskan siasatan boleh memberi implikasi besar terhadap proses keadilan dan keselamatan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










