JOHOR BAHRU: Masjid India Dato’ Ahmad Awang di sini membelanjakan kira-kira RM180,000 sepanjang Ramadan tahun ini untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada 600 pengunjung ke masjid tersebut, setiap hari.
Menariknya, lebih daripada 70 peratus pengunjung yang berbuka puasa di Masjid India yang tertua di negeri ini terdiri daripada pekerja warga asing yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Setiausaha masjid berkenaan, Hussien Ibrahim, 66, berkata, masjid tersebut membelanjakan RM6,500 setiap hari untuk menyediakan juadah nasi beriani kepada 600 individu sepanjang Ramadan.
“Sebanyak 500 daripadanya adalah untuk pengunjung yang berbuka puasa di masjid manakala 100 lagi dalam bentuk bungkusan makanan dengan kira-kira separuh daripadanya diagih kepada gelandangan, termasuklah bukan Islam.
“Wang yang digunakan adalah daripada sumbangan orang ramai, di mana amalan ini telah dimulakan sejak masjid ini dibuka pada 1951, iaitu lebih 75 tahun lalu.
“Tetapi sebelum pandemik Covid-19, kami sediakan makanan berbuka untuk seramai kira-kira 300 orang. Namun, ketika pandemik kita dapat tahu ramai individu kurang bernasib baik di sekitar kawasan masjid, sejak itu kita gandakan jumlahnya kepada 600,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Hussien, keunikan juadah berbuka masjid tersebut adalah ia menyediakan menu nasi beriani Basmathi setiap hari, dengan lauknya ditukar antara ayam, lembu, kambing dan puyuh.
“Rempah ratus yang digunakan dibawa secara langsung dari India bagi mengekalkan keaslian rasa beriani ini. Alhamdulillah usaha ini mendapat sambutan baik daripada orang ramai yang berbuka di sini.
“Rasanya memang berbeza dengan majoriti tempat lain di sini. Secara anggaran kita guna antara 50 hingga 60 peket beras setiap hari, begitu juga daging sekitar 50 hingga 60 kilogram sehari,” katanya sambil memberitahu proses penyediaan makanan berbuka dimulakan seawal pukul 9 pagi setiap hari.
Hussien turut memberitahu, selain juadah berbuka, masjid berkenaan turut menyediakan juadah moreh iaitu kuih muih tradisional masyarakat India serta menu bersahur khususnya pada 10 malam terakhir.
“Pada 10 malam terakhir, masjid ini akan adakan qiamullail setiap hari, disusuli dengan bersahur bersama-sama,” katanya. –UTUSAN











