PETALING JAYA: Malaysia berpendirian tegas menentang sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara susulan serangan yang didakwa dilakukan oleh rejim Israel bersama Amerika Syarikat ke atas Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memandang serius perkembangan tersebut kerana ia bukan sahaja mengorbankan nyawa orang awam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih besar yang boleh menjejaskan keamanan serta kestabilan global.
Menurutnya, perkara itu disuarakan dalam perbualan telefon bersama Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi semalam bagi menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat negara berkenaan yang sedang berdepan saat sukar.
“Dalam perbualan itu, saya menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Iran atas kehilangan nyawa akibat serangan tersebut, termasuk yang melibatkan pemimpin tertinggi negara itu,” katanya.
Dalam serangan yang dilaporkan berlaku di Tehran, ia turut mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei serta 165 pelajar sekolah.
Anwar berkata, Malaysia menegaskan bahawa sebarang konflik perlu ditangani melalui saluran diplomasi dan dialog, bukannya tindakan ketenteraan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Menurutnya, Malaysia juga menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi konflik berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat antarabangsa.
Pada masa sama, katanya, kedua-dua pihak turut menyentuh keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan serta memperkukuh usaha diplomasi bagi mencari penyelesaian damai terhadap konflik yang melanda rantau tersebut.
Beliau berkata, isu Palestin turut dibangkitkan dalam perbincangan itu memandangkan konflik berkenaan terus menuntut perhatian serius masyarakat antarabangsa bagi memastikan keadilan dan keamanan dapat dicapai. – UTUSAN








