PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam ekosistem halal global apabila memperluaskan konsep pelancongan mesra Muslim ke dalam sektor spa dan kesejahteraan melalui pelancaran program spa mesra Muslim pertama di dunia.
Langkah strategik itu dimeterai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Islamic Tourism Centre (ITC) dan Association of Malaysian Spas (AMSPA) sempena pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin di Jerman.
Majlis berkenaan disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang menyifatkan pembangunan sektor spa dan kesejahteraan mesra Muslim sebagai antara agenda penting negara dalam menarik lebih ramai pelawat antarabangsa.
Majlis pemeteraian MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden AMSPA, Selinastein Mohd Rashid.
Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Duta Besar Malaysia ke Jerman, Mohamad Razdan Jamil, serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim.
Inisiatif itu juga dilihat sejajar dengan usaha Malaysia untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan negara menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia.
Kerjasama berkenaan akan menyaksikan ITC melaksanakan garis panduan serta program latihan Spa Mesra Muslim yang tersusun kepada 100 ahli AMSPA melalui modul latihan khusus, program pembangunan kapasiti dan rangka kerja pengiktirafan rasmi.
Program tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di peringkat global dan mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh piawaian dalam segmen kesejahteraan halal, selain meletakkan negara sebagai rujukan utama bagi destinasi yang ingin meneroka pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang.
Pembangunan perkhidmatan spa dan kesejahteraan mesra Muslim juga dilihat tepat pada masanya ketika Malaysia bersedia menerima peningkatan ketibaan pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia.
ITC membangunkan garis panduan spa dan kesejahteraan tersebut bersama AMSPA dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan merujuk kepada piawaian Spa Halal SMIIC yang diterima pakai di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Garis panduan itu merupakan antara komponen utama dalam program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang turut merangkumi piawaian bagi premis penginapan pelancong serta syarikat pengendali pelancongan mesra Muslim.
Majlis pemeteraian di Berlin itu turut memberi isyarat kepada pengendali spa antarabangsa bahawa kerangka perkhidmatan mesra Muslim semakin menjadi pertimbangan penting dalam perancangan industri pelancongan global.
Selain sektor spa, MFAR turut merangkumi pengiktirafan kepada produk pelancongan mesra Muslim lain termasuk penginapan dan perkhidmatan pengendali pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim berdasarkan piawaian yang dibangunkan Malaysia.
Dengan pengintegrasian piawaian kesejahteraan ke dalam ekosistem pelancongan mesra Muslim, Malaysia dilihat bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga sebagai hab rujukan global dalam pembangunan standard industri pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim.-UTUSAN










