Malaysia giat tarik pelancong Eropah, perkukuh kerjasama industri di ITB Berlin - Utusan Malaysia

Malaysia giat tarik pelancong Eropah, perkukuh kerjasama industri di ITB Berlin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh kerjasama pelancongan dengan rakan antarabangsa bagi meningkatkan kehadiran negara dalam pasaran Eropah sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Usaha tersebut dilaksanakan menerusi penyertaan negara dalam pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin 2026 yang menghimpunkan pemain industri pelancongan dari seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pavilion Malaysia menerima sambutan menggalakkan daripada pemain industri dan pengunjung sepanjang pameran tersebut.

“Sepanjang acara ini, saya turut mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan industri pelancongan antarabangsa bagi bertukar pandangan serta meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama.

“Jerman mempunyai populasi melebihi 80 juta orang, namun hanya kira-kira 188,928 pelancong dari negara tersebut melawat Malaysia pada tahun 2025. Angka ini menunjukkan masih terdapat peluang yang luas.

“Saya berharap kerjasama ini dapat terus dipertingkatkan khususnya dalam pasaran pelancongan mewah Eropah melalui penganjuran lawatan suai kenal dan pelaksanaan usaha promosi bersama pada masa hadapan,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengadakan pertemuan dengan wakil Lufthansa City Center (LCC) International, rangkaian jualan pelancongan yang mempunyai kira-kira 320 agensi ahli di 110 negara di seluruh dunia.

Menurutnya, perbincangan tersebut turut menyentuh pelancaran laluan penerbangan terus Frankfurt–Kuala Lumpur oleh Lufthansa yang dijadual bermula pada 25 Oktober tahun ini.

“Pada peringkat awal, Lufthansa agak berhati-hati dengan cadangan laluan ini. Namun selepas beberapa siri perbincangan dan libat urus, syarikat penerbangan itu akhirnya bersetuju untuk melancarkan laluan Frankfurt–Kuala Lumpur pada Oktober tahun ini.

“Pembukaan laluan tersebut akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi keempat Lufthansa Group di Asia Tenggara selepas Bangkok, Singapura dan Phuket,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut bertemu wakil syarikat pengendali pelancongan alam semula jadi dari Jerman, Diamir Erlebnisreisen GmbH bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan pengembaraan.

Menurutnya, syarikat tersebut membangunkan 16 pakej perjalanan berkaitan Malaysia dan merancang untuk memperhebat promosi negara ini di Jerman, Austria dan Switzerland melalui rangkaian agensi pelancongan serta saluran medianya.

“Selain kaya dengan warisan budaya, Malaysia juga mempunyai aset alam semula jadi yang unik termasuk pengalaman konservasi orang utan di Sabah dan Sandakan serta ekosistem hutan hujan tropika yang mampu menarik minat pelancong antarabangsa.

“Saya berharap kerjasama dengan pemain industri pelancongan antarabangsa ini dapat terus dipertingkatkan melalui usaha promosi bersama dan lawatan suai kenal supaya lebih ramai pelancong Eropah dapat mengenali keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN