PETALING JAYA: Malaysia Airlines akan memperkenalkan penerbangan tambahan antara Kuala Lumpur ke London Heathrow (LHR) dan Paris Charles de Gaulle (CDG) bermula 6 hingga 8 Mac 2026 bagi menyokong pengembara yang terjejas akibat gangguan rangkaian perjalanan global ketika ini.
Langkah proaktif itu diambil bagi memberikan jaminan dan kelangsungan perjalanan kepada penumpang dengan mengerahkan kapasiti pesawat berbadan lebar tambahan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata, syarikat penerbangan itu komited memainkan peranan penting dalam memastikan dunia kekal terhubung terutamanya dalam tempoh yang mencabar.
“Kami memahami bahawa di sebalik setiap perjalanan hari ini, ada keluarga yang berharap untuk bersatu semula dan pelajar yang ingin pulang ke tanah air. Malaysia Airlines mempertingkatkan kapasiti di laluan kritikal dan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami.
“Peranan kami bukan sekadar mengendalikan penerbangan, tetapi memberikan kestabilan dan keyakinan apabila pengembara sangat memerlukannya. Melalui perkhidmatan tambahan ini, kami bangga dapat mengekalkan keterhubungan global dengan hospitaliti Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, penerbangan tambahan tersebut akan menggunakan pesawat A350-900 dan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan terjejas demi mengutamakan keselamatan.
Bagi laluan Kuala Lumpur-Paris (MH7014/MH7015), penerbangan tambahan disediakan pada 6 Mac, manakala laluan Kuala Lumpur-London (MH7004/MH7003) akan beroperasi pada 7 dan 8 Mac 2026.
Selain perkhidmatan tambahan ini, Malaysia Airlines turut bekerjasama dengan rakan kongsi penerbangan lain di seluruh Eropah dan Asia bagi memudahkan sambungan perjalanan seterusnya untuk penumpang yang terkesan.
Syarikat penerbangan itu akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia untuk melaraskan kapasiti mengikut keperluan bagi mengekalkan rangkaian keterhubungan global yang dipercayai.
Pengguna boleh membuat tempahan melalui laman web rasmi Malaysia Airlines atau aplikasi mudah alih rasmi syarikat penerbangan tersebut. –UTUSAN









