BAGAN SERAI: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bukan sahaja membantu menyelesaikan kekangan kewangan pasangan suami isteri, Muhammad Rizal Azlan dan Siti Fatimah Sani bagi membolehkan anak mereka, Muhammad Mikail Rafanza, 3, menjalani pembedahan kaki dalam masa terdekat.
MAIPk juga akan terus memantau perkembangan kesihatan kanak-kanak itu untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui dana Baitulmal bagi membantu menampung kos rawatan perubatan yang agak tinggi.
Menurutnya, pembedahan yang perlu dijalani oleh kanak-kanak berkenaan dianggarkan menelan kos sekitar RM10,000 dan proses rawatan yang dilalui sebenarnya telah bermula sejak sekian lama serta dijangka berterusan untuk tempoh yang panjang.
“Dari semasa ke semasa, apabila timbul keperluan rawatan, kita memahami bahawa keluarga ini mempunyai kekangan dari segi kemampuan kewangan untuk menyediakan dana bagi tujuan tersebut.
“MAIPk melalui Jawatankuasa Baitulmal Daerah telah meluluskan sejumlah bantuan bagi membantu menampung kos pembedahan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut di Parit Mentara 3 di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya berharap pembedahan berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kesihatan kanak-kanak terbabit.
“Sekiranya terdapat keperluan rawatan susulan pada masa hadapan, keluarga tersebut boleh mengemukakan permohonan bantuan tambahan yang akan dinilai oleh pihak MAIPk.
“MAIPk akan cuba membantu sedaya, kerana kita memahami kos rawatan yang perlu ditanggung adalah tinggi. Malah, bantuan kepada Muhammad Mikail Rafanza ini berkemungkinan diteruskan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Rizal Azlan berkata, mereka belum lagi mendapat keputusan dari pihak hospital tentang tarikh pembedahan anaknya itu.
“Setakat ini kami belum tahu lagi sebab pihak hospital menantikan surat rasmi dari pihak Baitulmal. Alhamdulillah hari ini kami telah menerima surat ini dan akan menghantar kepada pihak hospital bagi mendapatkan keputusan tentang penjadualan semula untuk operasi pembedahan kaki anak” katanya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan hasrat pasangan suami isteri untuk menjalani pembedahan kaki anak mereka tepaksa ditangguhkan ekoran kekangan kewangan dan perkara itu mendapat perhatian oleh pihak Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN










