KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menuntut pejelasan daripada PKR dan kerajaan berhubung dakwaan pemberian RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen parti itu bagi ‘menyelesaikan’ isu rangkaian ‘mafia korporat’.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dari sudut undang-undang, sebarang dakwaan mengenai wang rasuah sudah cukup untuk menimbulkan persoalan serius dan perlu dijawab oleh pihak yang terlibat.
“Bila ada satu dakwaan bahawa seseorang memberi wang rasuah RM10 juta atau RM9.5 juta kepada seorang ahli Parlimen parti tertentu, itu sudah dianggap sebagai dakwaan.
“Jadi tugas parti tersebut adalah untuk beri penjelasan. Kita mendesak supaya perkara ini diberikan penjelasan,” katanya kepada media.
Takiyuddin memberitahu, dakwaan tersebut dianggap bercanggah dengan prinsip parti berkenaan yang lantang menentang rasuah sehingga ke akar umbi.
Sebelum ini, Victor Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran sebanyak RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal ‘mafia korporat’.
Namun, beliau mendakwa baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah tersebut tidak diselesaikan.
Bagaimanapun, Victor kemudian menjelaskan bahawa bayaran itu bukan diberikan kepada Ahli Parlimen berkenaan, sebaliknya disalurkan kepada ‘orang tengah’ sebagai yuran perkhidmatan. – UTUSAN











