KOTA BHARU: Seorang lelaki tempatan dan dua etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyediakan pengangkutan kepada enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang diseludup diseludup di Kampung Manik Urai Baru, Kuala Krai, bulan lalu.
Semua tertuduh iaitu Muhammad Nurul Faqih Ab Talib, 38; Ahmad Boshu Rahman, 38, dan Asaraf Miya Abu Boshar, 48, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama didakwa menyediakan pengangkutan kepada enam migran Myanmar yang diseludup menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Manik Urai Baru, Jalan Kuala Krai–Gua Musang, Kuala Krai, kira-kira pukul 2.55 pagi pada 6 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang diklasifikasikan sebagai kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN
–










