SEREMBAN: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita senegara yang ditemukan mati dikelar di sebuah asrama pekerja di Jalan Nilai Universiti, Nilai, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek berusia 41 tahun itu diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai kira-kira pukul 12.55 tengah malam tadi di Saujana Puchong, Puchong, Selangor.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 1 Mac lalu berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangga tingkat empat asrama berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian dengan mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada hutang berjumlah RM10,000.
“Mangsa didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar suspek bersama teman wanitanya di media sosial sekira gagal membayar RM5,500 pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Johari berkata, suspek turut menunjukkan lokasi dia membuang senjata yang digunakan dalam kejadian serta barangan milik mangsa.
“Antara barangan dirampas ialah sehelai baju hitam, sepasang selipar, sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa, sebuah telefon bimbit milik suspek serta sebilah pisau boleh laras berwarna perak yang ditemukan di bumbung lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, suspek telah diserahkan kepada BSJD IPD Nilai bagi permohonan reman.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an ditemukan maut dengan kesan kelaran berulang kali di leher di tangga tingkat empat asrama pekerja asing berkenaan.
Sehubungan itu, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN










