MELAKA: Seorang lelaki meninggal dunia secara mengejut ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Bukit Katil, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Arif Mohamed Rabei, 37, dilaporkan rebah secara tiba-tiba sebelum tidak sedarkan diri di dalam premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut melalui panggilan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC).
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Baru bersama pegawai penyiasat telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang makan sebelum tiba-tiba bangun dan berdiri di hadapan mejanya sebelum rebah serta tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, orang awam yang berada di lokasi segera menghubungi ambulans dan pasukan perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Berdasarkan maklumat adik mangsa, Fatin Raihanah Mohamed Rabei abangnya ada mengadu sakit perut beberapa hari sebelum kejadian dan telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan,” ujarnya.
Ujarnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan penuh bedah siasat.
Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan lanjut dan keputusan bedah siasat dijangka dapat menentukan punca sebenar kematian. – UTUSAN











