Lelaki maut, dua anak tiri parah kereta terbalik dan terbakar langgar JCB - Utusan Malaysia

Lelaki maut, dua anak tiri parah kereta terbalik dan terbakar langgar JCB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki maut manakala dua anak tirinya parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah jentera berat JCB berhampiran Ladang Tabung Haji, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa berusia 37 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan mendapati mangsa bersama dua orang anak tirinya dalam perjalanan dari Bandar Tenggara menghala ke Kluang sebelum merempuh kenderaan berat tersebut dari arah belakang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa terbalik di bahu kiri jalan sebelum terbakar. Pemandu dan penumpang kereta sempat dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum ia terbakar.

“Namun, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Anak tiri mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun parah di kepala dan patah kedua-dua kaki, manakala kakaknya berusia 11 tahun cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Bahrin berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini. Kedua-dua mangsa masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut.

“Pemandu jentera berat iaitu seoang lelaki tempatan berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini