Lebih 5,000 kandungan lucah diturunkan

Lebih 5,000 kandungan lucah diturunkan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,000 kandungan berunsur lucah sudah diturunkan platform dalam talian sejak 1 Januari 2022 hingga Ahad lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengemukakan permohonan penurunan 6,481 kandungan bersifat lucah kepada penyedia platform.

Beliau berkata, dari jumlah tersebut, sebanyak 5,203 sudah diturunkan atau 80 peratus dari jumlah kandungan lucah yang dimohon MCMC.

“Tindakan penurunan kandungan oleh pemberi perkhidmatan ini dibuat berdasarkan aduan dikemukakan, syarat-syarat garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan dan aplikasi undang-undang tempatan yang berkuat kuasa,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu langkah baharu kerajaan untuk menyekat laman web pornografi yang terus berleluasa.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pada masa sama sebanyak 4,380 laman sesawang bersifat lucah disekat oleh penyedia platform berikutan permohonan daripada MCMC.

Katanya, ia adalah selari dengan keperluan keselamatan dalam talian secara menyeluruh, kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian (Akta 866) sejak 1 Januari 2026, yang antaranya mewajibkan pemberi perkhidmatan aplikasi dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam mengawal selia kandungan memudaratkan dalam talian.

“Sejak penguatkuasaan Akta 866, MCMC mengemukakan permohonan penurunan enam kandungan lucah dan kesemua kandungan tersebut telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan berhasrat melaksanakan sekatan ke laman web pornografi dalam negara dan sedang mengenal pasti mekanisme terbaik bagi tindakan tersebut.

“Cara terbaik dalam keadaan tertentu, seperti kita ada undang-undang baharu untuk menangkap dan mendakwa pihak tertentu yang membangunkan aplikasi atau laman sesawang ini di mahkamah. Bagi mereka yang membangunkan laman sesawang di luar negara, kita perlu kerjasama negara asing, jadi ada beberapa kekangan.

“Jadi, cara terbaik adalah kita menjadi contoh kepada keluarga, masyarakat dan anggota parti kita supaya elak daripada menormalisasikan budaya atau menonton laman sesawang berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN