KUALA KANGSAR: Lebih 27,800 pelita panjut dinyalakan di beberapa kawasan di daerah ini sempena menyambut Syawal yang menjelang tiba.
Kesemua cahaya itu dipasang oleh 21 peserta yang menyertai Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026, melibatkan tujuh agensi kerajaan, satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta 13 buah kampung.
Rekaan pelbagai panjut dibina berteraskan identiti warisan tempatan seperti Masjid Ubudiah, Istana Kenangan, Istana Iskandariah, Labu Sayong dan beberapa simbol kebanggaan Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.
Kawasan utama pameran terletak di Pesisiran Sayong, tebing Sungai Perak di tengah bandar tersebut.
Seorang pengunjung, Alif Haikal, 21, berkata, dia bersama rakan-rakan seronok dapat melihat pameran pelita yang memeriahkan Kuala Kangsar.
“Ini membangkitkan semangat menyambut hari raya pada Jumaat atau Sabtu ini. Video dan gambar yang dikongsikan dalam media sosial menjadi tular dan mendapat banyak tanda suka,” katanya.
Nurul, 40, memuji penganjuran pesta itu yang buat pertama kali tertumpu di kawasan utama sekali gus memudahkan orang ramai datang melihat, berbanding di ceruk kampung.
Pemasangan panjut itu berlangsung sejak semalam dan dijangka berterusan sehingga malam raya dengan Kerajaan Negeri Perak menyumbang RM175,000 bagi penganjuran pesta tersebut dengan harapan amalan tradisi seni cahaya orang Melayu itu berkekalan.
Lebih 20,000 pengunjung hadir menyaksikan pertunjukan tersebut termasuk pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pihaknya akan melihat potensi penganjuran pada tahun-tahun mendatang termasuk usaha mempopularkan Meriam Talang yang sering dimainkan di Kuala Kangsar pada malam raya. – UTUSAN










