PETALING JAYA: Lebih 10,000 penjaja dan peniaga kecil dijangka menerima manfaat daripada pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan premis terpilih milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan penjaja dan peniaga kecil di ibu negara terus terbela.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah ia adalah manifestasi jelas bahawa kerajaan memahami realiti dihadapi penjaja.
“Ini kerana, cabaran yang dihadapi penjaja yang berdepan peningkatan kos bahan mentah dan operasi harian serta ketidaktentuan ekonomi.
“Lebih 10,000 penjaja dan peniaga mikro dijangka menerima manfaat secara langsung daripada pelaksanaan pengurangan kadar sewa berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook DBKL hari ini.
Menurutnya, kadar minimum sewaan juga ditetapkan serendah RM50 sebulan bagi memastikan pendekatan yang lebih inklusif dan seimbang.
Jelasnya, ia bukan sahaja membantu meringankan beban malah memastikan peluang ekonomi di ibu negara kekal terbuka dan mampan tanpa menjejaskan keupayaan DBKL dalam menyediakan kemudahan serta perkhidmatan terbaik kepada warga Kuala Lumpur.
“Bermula 1 April ini hingga 31 Disember 2027, pelaksanaan inisiatif ini membawa semangat Ihsan Bandar Raya iaitu dasar tidak sekadar dirancang tetapi diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
“Ia memberi isyarat jelas bahawa DBKL dan kerajaan sentiasa bersama penjaja, bukan sahaja dalam waktu senang, tetapi lebih-lebih lagi ketika cabaran memuncak.
“Inilah wajah Kuala Lumpur yang terus kita banggakan, sebuah bandar raya yang bukan sahaja pesat membangun, tetapi turut berjiwa rakyat, prihatin dan sentiasa berusaha memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus kemajuan,” katanya. – UTUSAN









