Laporan Ketua Audit Negara: KPT tunggu laporan penuh UKM

Laporan Ketua Audit Negara: KPT tunggu laporan penuh UKM

ZAMBRY Abd Kadir menyampaikan sumbangan wang tunai kepada petugas KPT yang layak ketika Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPT 2026 di Putrajaya. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menunggu laporan penuh daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya juga telah menyerahkan sepenuhnya kepada universiti itu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika wujud sebarang pelanggaran serius.

“Kalau sekiranya laporan itu bersifat tidak serius dan hanya melibatkan soal tatakelola, maka langkah-langkah yang dikemukakan oleh audit (Jabatan Audit Negara) itu kita akan lakukan.

“Dan sekiranya ada kesalahan dan keseriusan tatakelola, maka tentunya ada langkah yang perlu dibuat seterusnya. Dalam konteks UKM ini, kita serahkan kepada pihak UKM untuk mengambil langkah seterusnya termasuk seperti mana yang disebutkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Iftar Bersama Warga KPT, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM telah membuka dua kertas siasatan susulan pendedahan LKAN 1/2026 membabitkan UKM bagi menyiasat isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan.

LKAN 1/2026 sebelum ini mendedahkan berlaku ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024.

Laporan itu menyebut, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta namun, UKM hanya merekodkan kutipan RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta pula dikutip melalui koperasi selain RM7.60 juta masih belum diterima.

Laporan itu juga mendedahkan kutipan yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta itu tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan selain wujud konflik kepentingan apabila lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam koperasi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN