Lanjutan PdPR di Kota Setar, Pendang bergantung suhu harian

Lanjutan PdPR di Kota Setar, Pendang bergantung suhu harian

GURU Matematik Tambahan, Nur Atina Osman mengajar kelas hibrid melibatkan pelajar yang tinggal di asrama ketika proses PdPR dilaksanakan di SMK Sultanah Asma, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melibatkan 206 sekolah di Kota Setar dan Pendang akan dilanjutkan atau sebaliknya bergantung kepada bacaan suhu harian oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, seramai 86,030 pelajar terlibat dalam PdPR yang membabitkan 65,634 pelajar dari 154 sekolah di Kota Setar dan 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang. 

“Pelaksanaan PdPR ini selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.

“Cuaca sekarang mencecah 37 darjah celcius dan sangat panas, sebab itu JPN Kedah mengambil inisiatif buat PdPR sebab kita mahu elak pergerakan pelajar, tidak mahu mereka terdedah dengan cuaca panas terutamanya pada waktu puncak tengah hari,” katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini, hari ini.

Akhbar ini melaporkan, sekolah-sekolah di Daerah Kota Setar dan Pendang melaksanakan pengoperasian secara PdPR selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa berikutan dua daerah itu mencatatkan gelombang haba Tahap 2 sejak Khamis lalu.

Abdul Rahim berkata, walaupun cuaca panas, sesi pembelajaran tetap berlangsung seperti biasa dengan JPN, sekolah serta guru telah membuat persediaan kerana peringatan awal dikeluarkan sejak Rabu lalu berhubung kemungkinan penutupan sekolah akan dibuat.

“Pemantauan berterusan dibuat dan kita akan pantau tahap bacaan suhu dikeluarkan METMalaysia, kalau bacaan dalam tempoh tiga hari ini masih sama, PdPR akan diteruskan tetapi jika sudah turun, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan seperti biasa.

“Kita mahu pastikan keselamatan dan kesihatan pelajar terjaga kerana cuaca panas ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan. Jadi, kita minta waris untuk turut sama memastikan kesihatan anak-anak terpelihara, pastikan mereka tidak terdedah dengan cuaca panas dalam tempoh yang lama,” katanya.

Tambahnya, di samping PdPR, beberapa sekolah yang mempunyai pelajar tinggal di asrama menjalankan pembelajaran secara hibrid dengan hadir ke kelas seperti biasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan masalah peranti dan talian internet yang dihadapi sesetengah pelajar, bagaimanapun pihak sekolah telah menyediakan lembaran kerja supaya sukatan pelajaran yang telah disusun dari awal dapat dihabiskan.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultanah Asma, Tengku Fariza Tengku Ibrahim berkata, seramai 201 daripada 217 pelajar asrama sekolah itu menjalani PdPR di sekolah.

“Bagi pelajar tingkatan 1 hingga 3, sesi PdPR bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi tingkatan 4 dan 5, sesi mereka bermuka pukul 8 pagi hingga 2 petang. Kelas akan diadakan selama satu jam sebelum berehat selama 15 minit dan kemudian disambung semula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN