PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bakal menyertai platform usaha sama penyejukan daerah, Lestari Cooling Energy Sdn. Bhd. (Lestari Cooling Energy) sebagai pelabur strategik dengan komitmen modal dijangka mencecah RM190 juta.
Penyertaan dana pencen sektor awam itu bakal memperkukuh profil syarikat tersebut yang ditubuhkan melalui kerjasama antara KJTS Group Berhad (KJTS) dan firma pelaburan infrastruktur global, Stonepeak.
Pelaburan KWAP disalurkan melalui Dana Iklim+, iaitu inisiatif pertama Malaysia yang berfokuskan iklim di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk memacu pertumbuhan sektor ekonomi utama.
Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KJTS, Azura Azman berkata, gabungan kepakaran infrastruktur global Stonepeak serta kehadiran institusi domestik KWAP yang kuat meletakkan perkongsian itu pada kedudukan terbaik untuk menyampaikan infrastruktur penyejukan jangka panjang.
“Langkah ini sejajar dengan objektif kemampanan dan transformasi tenaga Malaysia, terutamanya dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) melalui kecekapan tenaga pada skala besar,” katanya dalam kenyataan.
Sistem penyejukan daerah diiktiraf sebagai standard emas kecekapan tenaga yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 50 peratus berbanding kaedah tradisional.
Teknologi ini menjadi semakin kritikal di Asia Tenggara dan Malaysia berikutan proses pembandaran industri serta pembangunan pusat data yang pesat.
Usaha sama ini dijangka mempunyai permodalan sehingga RM1.5 bilion (AS$380 juta) melalui komitmen agregat dan pembiayaan hutang.
Apabila beroperasi pada kapasiti penuh, syarikat menyasarkan untuk mengurangkan lebih 70,000 tan pelepasan karbon (CO2) setahun.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan Stonepeak, Hajir Naghdy berkata, pertumbuhan Lestari Cooling Energy mencerminkan kepentingan infrastruktur penyejukan sebagai elemen kritikal di Malaysia.
“Kami teruja untuk terus mengembangkan platform ini bersama KWAP dan KJTS bagi menyokong keperluan tenaga Malaysia yang semakin meningkat serta menyediakan laluan kos efektif bagi perniagaan tempatan mengurangkan kesan kenaikan kos elektrik,” katanya.
Lestari Cooling Energy kini bersedia untuk mempercepatkan pembangunan aset pengagihan elektrik dan penyejukan yang pelbagai bagi menyokong sasaran pengurangan karbon negara serta pembangunan bandar jangka panjang. –UTUSAN










