Kutip pengalaman di Australia, kembang pertanian di Perak

Kutip pengalaman di Australia, kembang pertanian di Perak

IDWAN Afendi Mohd. Hashim menunjukkan tanaman cili yang diusahakannya di Kampung Gunung Panjang di Gopeng.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Seorang belia berasal dari sini menimba pengalaman selama enam tahun di Australia dalam bidang pertanian sebelum menjadikan ia sebagai kerjaya di Kampung Gunung Panjang di sini.   

Menurut Idwan Afendi Mohd. Hashim, 36, pengalaman sebagai pekerja am, mekanik mesin serta jentera di ladang buah-buahan pir, epal, ubi kentang dan badam di negara itu meyakinkan dia untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri. Walaupun pendapatan lumayan di Victoria dan Adelaide di Selatan Australia, dia kembali menabur bakti untuk negeri kelahirannya.

“Selain ibu, arwah ayah selalu berpesan meminta untuk saya pulang. Saya mengambil tindakan nekad pulang pada 2022 dan terus memulakan projek tanaman cili bersaiz besar.

  “Walaupun tanaman cili agak mencabar kerana serangan serangga dan kulat, harganya stabil membolehkan saya meraih pendapatan mencecah empat angka sebulan. Cili boleh dipetik selepas 60 hari ditanam,” katanya.

Menurutnya, cili yang ditanam dalam 2,000 polybag secara fertigasi itu mendapat pasaran yang tinggi dan dijual terus kepada pemborong, peraih dan jualan runcit di restoran dan pasar mini di Gopeng, Batu Gajah dan Ipoh.

Dia mendapat bantuan secara berterusan daripada Jabatan Pertanian Perak dalam bentuk baja dan racun organik serta peralatan pertanian seperti cangkul, mesin rumput kereta sorong.

Katanya, dia juga mendapat Geran Agropreneur Muda dalam bentuk barangan berjumlah RM30,000 untuk menambah 2,000 polybag lagi bagi meningkatkan hasil tuaian cili sekitar empat tan semusim.

Jelasnya, bantuan daripada Majlis Daerah Kampar dan Pejabat Tanah dan Daerah Kampar pula memastikan kawasan tanaman sentiasa terjaga dan kemudahan awam seperti jalan serta utiliti berada pada tahap terbaik.

“Saya turut merancang meningkatkan kemahiran dengan mengikuti kursus dan memohon bantuan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) pada masa depan,” katanya.

Usaha Idwan Afendi itu selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian sebagai teras ekonomi daerah Kampar.

Inisiatif tersebut turut menepati Flagship Pertama pelan berkenaan iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan Flagship Kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan kesejahteraan rakyat secara berterusan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN