PUTRAJAYA: Kerajaan menyelaraskan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi Program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April namun mengekalkan harga RM1.99 seliter.
Ia susulan kesan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat terhadap bekalan dan harga tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan yang diambil adalah lebih terangkum bagi menjamin bekalan minyak serta gas dan pada masa sama mengurus permintaan lebih berhemah dan waspada.
Menurut beliau, beberapa langkah yang diambil memerlukan kerjasama rakyat kerana tekanan dihadapi, namun mengambil keputusan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 di bawah BUDI95 RM1.99 ketika negara lain menaikkan harga minyak.
Katanya, antara langkah strategik itu ialah menyelaraskan had kelayakan subsidi petrol BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan berbanding 300 liter sebelum ini.
Tambahnya, penyelarasan had kelayakan ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat mengambil kira penggunaan kurang 200 liter sebulan.
“Kita dapati purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, maka langkah ini tidak terjejas.
“Oleh itu kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026. Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu,” katanya dalam perutusan khas di sini semalam.
Pada masa sama, Anwar menegaskan, had kelayakan siling bagi e-hailing dan pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter mengambil kira tanggungjawab pekerjaan mereka dan urusan yang mereka harus lakukan.
Selain itu, Anwar berkata, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik.
Bagi mengekang ketirisan diesel bersubsidi, kerajaan akan mula menghadkan pengisian seperti berikut:
• Kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian.
• Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebih 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian.
• Kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.
Anwar berkata, langkah ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.
“Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mahu penguatkuasaan yang lebih tegas bagi mengelak ketirisan dan semua agensi dan jentera kerajaan harus lebih tegas dan waspada.
“Kita tidak boleh beri subsidi dan kemudian kita lihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.
“Oleh itu, amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah dan turut menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.
“Insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, dan terkecuali kerana setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia,” katanya. – UTUSAN










