MELAKA: Hospital wakaf pertama di negara ini bakal dibina di Kajang, Selangor dengan kos dianggarkan RM270 juta bagi memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat khususnya golongan memerlukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, projek tersebut kini dalam fasa awal pembinaan dan dijangka dimulakan sepenuhnya selepas Ramadan.
Menurut beliau, hospital wakaf itu dibangunkan melalui inisiatif wakaf tunai yang digerakkan oleh Yayasan Wakaf Malaysia sebagai usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat.
“Hospital wakaf pertama ini akan dibina di Selangor dengan anggaran kos RM270 juta dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula selepas Ramadan.
“Inisiatif ini menunjukkan bahawa wakaf bukan sekadar sumbangan biasa, tetapi mampu membangunkan aset besar yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program singgah sahur sempena Bulan Wakaf Malaysia yang turut melibatkan sumbangan bakul makanan kepada lapan keluarga B40 di sekitar Pantai Kundor, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr. Ridzwan Bakar.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia menyertai wakaf tunai walaupun dengan jumlah kecil kerana ia mampu memberi impak besar jika dilakukan secara konsisten.
“Kalau kita ambil contoh, sekiranya sejuta penjawat awam membuat potongan gaji sebanyak RM10 sebulan untuk wakaf, jumlah itu sudah mencecah RM10 juta sebulan.
“Dalam tempoh setahun sahaja, jumlahnya boleh mencecah lebih RM100 juta dan dalam masa kira-kira dua tahun kita sudah mampu membina sebuah hospital wakaf,” ujarnya.
Menurut beliau, konsep wakaf tidak terhad kepada golongan berada kerana sesiapa sahaja termasuk golongan B40 boleh berwakaf walaupun serendah RM5 melalui pelbagai platform termasuk Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) dan aplikasi Wakaf yang dilancarkan sempena Bulan Wakaf Kebangsaan pada 1 Ramadan lalu.
Tambahnya, sasaran kutipan wakaf bagi bulan Ramadan tahun ini ialah sebanyak RM1 juta di seluruh negara dan pihaknya berharap sokongan masyarakat serta peranan media dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan wakaf. – UTUSAN










