KUALA LUMPUR: Susulan ketegangan yang berlaku di Asia Barat, pelakon Qasrina Karim mengakui gusar memikirkan keadaan adik bongsunya, Arif Karim yang kini berada di Mesir.
Menurut Qasrina atau Qasrina Abdul Karim, 30, adiknya memaklumkan bahawa semua jadual penerbangan keluar dari negara itu dibatalkan sejak konflik tercetus.
Arif yang kini menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura bagaimanapun telah membeli tiket penerbangan dan dijadual pulang ke tanah air minggu hadapan bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Adik saya sekarang berada di Mesir dan dia memaklumkan keadaan di tempatnya berada masih baik.
“Di sana juga ramai pelajar Malaysia dan terdapat komuniti pelajar Malaysia. Jadi dia beritahu semuanya berada dalam keadaan selamat.
“Mengikut perancangan, minggu depan dia mahu pulang beraya, tetapi semua lapangan terbang di sana ditutup buat masa ini. Jadi belum pasti sama ada dia boleh pulang atau tidak. Kami perlu menunggu keadaan kembali reda,” katanya.
Qasrina berkata demikian ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli-belah KLGC, di sini, semalam.
Tambahnya, perkembangan geopolitik tersebut turut meresahkan seluruh ahli keluarganya, terutamanya ibu mereka yang sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan Arif.
“Sudah tentu satu keluarga memikirkan keadaannya, apatah lagi dia sepatutnya pulang minggu depan. Tetapi disebabkan situasi di sana, mungkin dia tidak dapat pulang.
“Bagaimanapun, dia memaklumkan keadaan di sana selamat. Dia juga tenang dan tidak panik. Bila dia tenang, kami sekeluarga juga lebih tenang.
“Ibu saya paling risau. Dia sentiasa berhubung dengan ibu bapa pelajar Malaysia di sana untuk mengetahui perkembangan semasa. Alhamdulillah, setakat ini semua pelajar Malaysia berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Qasrina berkata, adiknya tidak pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada tahun lalu dan mereka berharap dapat berkumpul pada tahun ini.
“Kami memang berharap dapat meraikan Syawal bersama kerana tahun lalu dia tidak pulang.
“Tambahan pula kakak saya baru selamat melahirkan anak. Disebabkan itu juga dia berhasrat untuk pulang.
“Namun jika tidak dapat pulang kali ini, tidak mengapa. Yang penting dia selamat. Itu sahaja yang kami doakan,” katanya. -UTUSAN










