SPPP pantau kesan Perang Iran-AS

SPPP pantau kesan Perang Iran-AS

KRISIS yang sedang berlaku di Asia Barat berpotensi memberi kesan tidak langsung terhadap sektor kapal persiaran di Pulau Pinang ketika ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sedang memantau rapi perkembangan krisis di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan tidak langsung terhadap sektor kapal persiaran di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, walaupun konflik tersebut bersifat serantau, namun, implikasinya terhadap logistik maritim global termasuk perubahan laluan kapal dan gangguan penerbangan memerlukan perhatian segera.

“SPPP bersama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) sedang menjalankan penilaian harian terhadap jadual kapal persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) termasuk mengenal pasti sebarang pembatalan atau perubahan jadual ketibaan kapal susulan ketidaktentuan semasa,” katanya di sini, hari ini.

Soon Hin berkata, ketika ini, beberapa syarikat pelayaran antarabangsa seperti MSC Cruises, TUI Cruises dan AIDA Cruises telah mula mengubah atau membatalkan operasi musim sejuk 2025/2026 di rantau Teluk Arab.

Katanya, sebagai contoh, kapal yang lazimnya melalui Terusan Suez kini terpaksa dilencongkan melalui Tanjung Harapan, sekali gus memanjangkan tempoh pelayaran dan memberi kesan kepada jadual ketibaan ke Asia Tenggara termasuk Pulau Pinang.

Beliau berkata, dua cabaran utama dikenal pasti iaitu gangguan penerbangan seperti penutupan ruang udara di Asia Barat yang memberi kesan kepada penumpang ‘fly-cruise’ serta peningkatan kos operasi yang menjurus kepada kenaikan harga minyak global dan premium insurans maritim.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, sektor kapal persiaran di Pulau Pinang ketika ini masih kekal berdaya tahan kerana disokong oleh rangkaian serantau yang kukuh.

Katanya, pengendali utama seperti StarDream Cruises dan Royal Caribbean masih mengekalkan jadual persinggahan di SPCT kerana laluan mereka tertumpu kepada pasaran serantau termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia sekali gus memastikan Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi utama dalam rangkaian pelayaran di Asia Tenggara.

“Dalam hal ini, SPPP dan PPSB juga sentiasa berhubung dengan syarikat pelayaran serta ejen kapal bagi menyediakan fleksibiliti operasi sekiranya berlaku perubahan jadual akibat lencongan laluan.

“Dalam situasi ketidaktentuan global ini, PPC komited memastikan SPCT kekal sebagai pintu masuk yang selamat, cekap dan bertaraf dunia, di samping melindungi sektor pelancongan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN