Konflik Asia Barat: Kerajaan susun langkah awal bawa keluar rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Kerajaan susun langkah awal bawa keluar rakyat Malaysia

ZAMBRY Abd Kadir (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek antara Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dengan Pegawai Daerah Manjung pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung di Lumut hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan sedang menyusun langkah awal bagi membawa keluar rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di kawasan konflik susulan perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi menyelaras sebarang tindakan melibatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.

“Kementerian Luar yang akan mengendalikan keadaan rakyat Malaysia termasuk pelajar kita yang sedang menuntut di sana.

“Sekiranya ada keperluan atau arahan daripada Kementerian Luar untuk mengeluarkan rakyat kita termasuk pelajar-pelajar, maka kita akan membantu turut serta dalam usaha tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim.

Pada program tersebut, seramai 377 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di daerah Manjung menerima BWI sebanyak RM1,000 setiap seorang, membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan RM377,000.

Menurut beliau, setakat ini usaha awal sedang disusun termasuk mengenal pasti langkah dan kaedah terbaik bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dapat dikeluarkan dengan selamat sekiranya keadaan memerlukan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini memaklumkan, kesemua 1,936 pelajar Malaysia di enam negara Asia Barat dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Setakat ini, jumlah pelajar Malaysia yang berdaftar di enam negara berkenaan adalah seramai 1,762 orang di Jordan, 135 orang di Arab Saudi, 21 orang di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sembilan di Kuwait, enam di Iran dan tiga di Qatar.

Sementara itu, mengulas mengenai Dapur Siswa, Zambry berkata, pihaknya telah meminta agar inisiatif tersebut diperluaskan ke institusi pendidikan lain termasuk politeknik agar ramai pelajar mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Katanya, hasil lawatannya ke beberapa universiti mendapati program berkenaan sedang dilaksanakan dengan baik.

“Baru-baru ini saya telah pergi ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan melihat sendiri perjalanan Dapur Siswa dan ia dilaksanakan dengan baik oleh pihak universiti bersama dengan mahasiswa,” katanya.

Pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan yang dikenali sebagai Dapur Siswa Madani.

Peruntukan tersebut disalurkan daripada dana Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak digunakan pada tahun sebelumnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN