PUTRAJAYA: Konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini masih belum menjejaskan keterjaminan bekalan makanan negara berikutan kebanyakan sumber makanan import tidak melibatkan negara-negara yang sedang terkesan secara langsung dengan konflik di rantau tersebut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara negara utama yang terlibat dalam import makanan negara ialah India, Pakistan, negara-negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil serta Argentina.
“Di sebelah sana kita banyak terlibat dengan sektor eksport terutama sekali di Dubai (tetapi) setakat ini kita belum terjejas apa-apa hal keterjaminan makanan.
“Buat masa ini barang-barang makanan terutama sekali (sumber) makanan utama tidak berapa terjejas kerana kawasan yang berkonflik ini terutama di negara Teluk ini tidak lah terlibat hal makanan secara besar-besaran bagi Malaysia,” katanya selepas Program Ihya Ramadan anjuran kementeriannya yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wisma Tani hari ini.
Terdahulu, program dimulakan dengan kehadiran Anwar ke mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KPKM bagi berkongsi hala tuju dan agenda utama kementerian, selain mendapatkan pandangan serta amanat secara langsung dalam usaha memacu sektor agromakanan negara.
Seterusnya, Perdana Menteri menyertai sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, sebelum beliau bersama-sama warga KPKM menunaikan solat Zohor secara berjemaah.
Mengulas lanjut, Mohamad juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku kesan secara tidak langsung sekiranya konflik itu berlarutan dalam tempoh yang panjang.
“Tapi kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlaku. Kalau ia berpanjangan dan bila berlaku kenaikan harga minyak, berkemungkinan berlaku kenaikan harga barangan import dan sebagainya,” katanya.
Ditanya sama ada kementerian mempunyai langkah mitigasi awal bagi menangani isu tersebut, Mohamad menjelaskan bahawa kerajaan memiliki pelan mitigasi dan langkah pengurusan krisis sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Dari segi bekalan beras, kita memang ada stok penimbal yang mana kalau terjadi apa-apa, kita ada bekalan yang cukup untuk lima bulan.
“Tetapi kalau kita ambil stok dijual di kedai-kedai, campur (semua), cukup untuk tujuh bulan. Lain-lain kita memang ada langkah pengurusan krisis jika berlaku apa-apa,” katanya – UTUSAN










